KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Bagi menjejaki serta merungkai sejarah mutakhir bangsa Melayu di tujuh negara rumpun Melayu Islam, Kelab Putera 1Malaysia dan tiga badan lain akan menganjurkan program Ekspedisi Jejak Warisan Jawi (JWJ) 2 bermula 29 Mei hingga 18 Jun ini.
Presidennya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, ekspedisi yang turut bertujuan mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang menarik dan selamat untuk dikunjungi itu akan meliputi Malaysia, Myanmar, Kemboja, Thailand, China, Vietnam dan Laos.
Katanya, ia dianjurkan bersama dengan Majma Budaya dan Warisan Jawi dengan kerjasama Blackwind Adventure Team.
"Selain kita mencungkil apa yang ada di negara yang kita akan pergi khususnya berkaitan (orang) Melayu serta warisan (tulisan) jawi dan adat budaya, kita mahu melihat sendiri bagaimana terpisahnya mereka (Melayu Islam) ini," katanya pada sidang media di sini hari Selasa.
Pasukan ekspedisi akan memandu sejauh 700 kilometer sehari dan secara keseluruhannya sejauh 14,000 kilometer, katanya.
Beliau berkata, seramai 50 orang termasuk 10 petugas media dijangka menyertai ekspedisi itu yang akan menggunakan 10 buah kenderaan pacuan empat roda milik Blackwind Adventure Team.
"Kita akan berhenti di 24 kampung dan kita akan memberi fokus kepada tiga bentuk misi iaitu misi pendidikan, kemanusiaan dan kebajikan," katanya sambil menambah beberapa barang keperluan asas seperti gula, tepung dan beras turut dibawa bersama untuk diagihkan kepada kampung berkenaan.
Abdul Azeez berkata, pasukan ekspedisi itu akan membuat penyelidikan demografi berkaitan Melayu Islam di tujuh negara berkenaan.
Kepada satu soalan, Abdul Azeez yang turut menyertai sebahagian daripada ekspedisi itu berkata ia akan dibukukan untuk tatapan generasi akan datang.
Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim telah bersetuju untuk menjadi penaung ekspedisi itu, katanya.
JWJ adalah sebuah projek menjelajah rumpun Melayu Islam yang terbit daripada pemikiran kritis segolongan kecil anak bangsa yang sayangkan sejarah bangsanya.
Ekspedisi itu merupakan kesinambungan daripada ekspedisi pertama anjuran Majma Budaya pada Feb tahun lepas bermula dari Klang, Selangor sehingga ke Ayuthaya, Thailand.
-- BERNAMA
0 comments:
Catat Ulasan
Assalamu'alaikum wbt dan salam sejahtera. Selamat membaca.