"Education aims at independence of judgement. Propaganda offers ready-made opinion for the unthinking herd."
THEMALAYPRESS - FIKIR DENGAN KRITIS | TERUS MELANGKAH LEBIH JAUH.

Assalamu'alaikum wbt dan salam sejahtera. Terima kasih kepada para pembaca yang masih setia mengikuti blog ini!
~ MOHAB (Blog layout versi 1 September 2014 - 17.07.2014 - 19 Ramadhan 1435)

Selasa, Februari 08, 2011

KENYATAAN ULAMA'-ULAMA' NUSANTARA MENGENAI ALLAH TIDAK BERTEMPAT

Serangkai Empat, Rindu yang terubat.
Ulama/Panglima Perang Ahlussunahwaljamaah - Al-Syeikh `Abd al-Samad al-Falembani (titisan daripada Tuan Kadhi al-Syeikh Abdul Jalil Kadhi Besar 'Empayar Islam Benua Siam Kedah - namanya tercatat dalam UUK) , al-Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari, al-Syeikh `Abd al-Wahhab dan al-Syeikh `Abd al-Rahman Mashri.  (harus benar jika menurut nama yang tercatat pada gambar diatas)
Maka pertahankanlah sekuasa-kuasa bagi kamu agar jangan terjebak dek aqidah sesat lagi menyesatkan agen-agen kafir tajaan British @ Wahabi dan juga Syiah.


KENYATAAN ULAMA'-ULAMA' NUSANTARA MENGENAI ALLAH TIDAK BERTEMPAT
by Al-Asyairah Al-Syafii on Saturday, February 5, 2011 at 11:58pm

ULAMA` NUSANTARA[1]

Al-Shaykh Daud ibn Abdullah al-Fatani berkata dalam kitabnya al-Durrur al-Thamin[2]:

“Maka wajib atas mukallaf menafikan daripada Allah Tuhan sekalian alam daripada serupai akan Dia dengan segala yang baharu seperti jirim dan `arad dan yang melazimkan bagi jirim dan `arad (dan) lazim bagi jirim itu empat perkara iaitu baharu dan bersusun dan mengambil lapang (ruang atau tempat) dan qabul bagi `arad  seperti maqadir (ukuran dan  sukatan) dan jihah (arah) dan zaman dan hampir dan jauh dan kecil dan besar dan bersentuh dan bergerak dan diam…”.

Al-Shaykh `Abdus-Samad ibn al-Falimbani (W. 1206 H-1791 M) berkata dalam kitabnya Hidayat al-Salikin [3]:

“Maha suci Allah ta`ala daripada pindah dan bergerak dan mengambil tempat dan bertempat yang tertentu pada suatu benua dan berpihak dengan pihak yang tertentu... tiada meliputi akan Allah ta`ala itu oleh tempat… dan tiada menentukan Allah ta`ala itu oleh zaman… adalah Allah itu dahulu daripada bahawa Ia menjadikan akan zaman dan tempat dan adalah Allah ta`ala sekarang atasnya iaitu ada Ia sedia tiada berubah-ubah daripada sedia-Nya”.

Al-Shaykh Zayn al-`Abidin bin Muhammad  Al-Fatani yang masyhur dengan panggilan Tuan Minal berkata dalam kitabnya `Aqidah al-Najin fi `Ilm Usul al-Din[4]:

“(Mukhalafatuhu lil-hawadith) ertinya bersalahan Allah ta`ala bagi segala yang baharu; ertinya tiada bersamaan Allah ta`ala bagi segala yang baharu, maka diketahui daripada yang demikian itu menafikan jirim dan `arad dan kulliyyah dan juz’iyyah dan segala yang lazim bagi segala perkara itu. Dan yang lazim bagi jirim empat perkara pertama baharu dan keduaan bersusun dan ketiga mengambil lapang [ruang atau tempat] dan keempat menerima bagi `arad…”.

Tuan Minal al-Fatani dalam kitabnya Irshadul-`Ibad ila Sabilir-Rashad[5] berkata lagi:

“…Dan bahawasanya Allah ta`ala Maha Suci daripada zaman dan makan yakni tiada lalu atas-Nya oleh masa dan tiada ditentukan dengan suatu tempat seperti barang yang diiktikadkan oleh orang yang jahil dan yang sesat bahawasa Allah ta`ala di dalam fu’ad kita Maha Suci Allah ta`ala daripada demikian itu dan Maha Suci daripada menyerupai bagi akwan tiada meliputi dengan Dia oleh segala pihak dan tiada mendatangkan Dia segala yang baharu. Bersamaan Ia atas Arasy atas wajah  yang difirman-Nya dan atas makna yang dikehendaki-Nya akan dia akan sebagai bersamaan yang berpatutan dengan kebesaran-Nya dan ketinggian kepujian-Nya dan kebesaran-Nya…”.

Al-Shaykh Muhammad Zayn ibn al-Faqih Jalal al-Din al-Ashi berkata dalam kitabnya Bidayah al-Hidayah Sharh Matn Umm al-Barahin[6]:

“…(Dan kelima) mustahil Allah ta`ala itu berhad dengan sesuatu tempat seperti pada Arasy dan lainnya atau masa seperti lalu atas-Nya siang dan malam…”.

Al-Shaykh Muhammad ibn Isma`il Daud al-Fatani berkata kitabnya Matla` al-Badrayn wa Majma` al-Bahrayn[7]:

“Dan setengah daripada yang mustahil pada hak Allah ta`ala dua puluh sifat dan iaitu segala lawan dua puluh sifat; pertama dan iaitu (`adam) ertinya tiada (dan huduth) ertinya baharu….. (dan mumathalah dengan hawadith) ertinya menyerupai dengan yang baharu dengan bahawa ada Ia berjirim ertinya mengambil Zat-Nya yang maha tinggi  akan kadar daripada lapang atau ada Ia `arad yang berdiri dengan jirim atau ada Ia pihak bagi jirim atau bagi-Nya pihak atau berhad Ia dengan tempat…”.

Sayyid `Ulama’il-Hijaz al-Mutakallim al-Mufassir al-Shaykh Muhammad Nawawi ibn `Umar al-Bantani (W. 1316 H - 1898 M) berkata dalam kitabnya al-Thimar al-Yani`ah fi al-Riyad al-Badi`ah [8]ketika membicarakan sifat persamaan dengan makhluk yang mustahil bagi Allah taala:

"أَوْ يَكُوْنُ تَعَالَى فِيْ جِهَةِ لِلْجِرْمِ بِأَنْ يَكُوْنَ عَنْ يَمِيْنِهِ أَوْ شِمَالِهِ أَوْ فَوْقِهِ أَوْ تَحْتِهِ أَوْ أَمَامِهِ أَوْ خَلْفِهِ أَوْ يَكُوْنَ لَهُ تَعَالَى جِهَةٌ بِأَنْ يَكُوْنَ لَهُ يَمِيْنٌ أَوْ شِمَالٌ أَوْ فَوْقٌ أَوْ تَحْتٌ أَوْ خَلْفٌ أَوْ أَمَامٌ أَوْ يَتَقَيَّدَ بِمَكَانٍ بِأَنْ يَحُلَّ فِيْهِ بِأَنْ يَكُوْنَ فَوْقَ الْعَرْشِ".

Maksudnya:
“…atau (Allah) ta`ala (itu) (mustahil) di suatu arah bagi jirim dengan keadaan Dia berada di kanan jirim, atau kirinya, atau atasnya, atau bawahnya, atau depannya, atau belakangnya, atau (Allah) taala (itu) (mustahil) bagi-Nya ada suatu arah dengan keadaan ada bagi-Nya kanan, atau kiri, atau atas, atau bawah, atau belakang, atau depan, atau (Allah taala itu mustahil) bergantung dengan suatu tempat dengan keadaan Dia bertempat padanya dengan keadaan Dia berada di atas `Arasy”.

Al-Shaykh Muhammad Nawawi al-Bantani berkata lagi dalam kitabnya Nur al-Zalam Sharh Manzumah `Aqidah al-`Awam[9]:

"وَكُلُّ مَا خَطَرَ بِبَالِكَ مِنْ صِفَاتِ الْحَوَادِثِ لا تُصَدِّقْ أَنَّ فِي اللهِ شَيْئًا مِنْ ذَلِكْ وَلَيْسَ لَهُ مَكَانٌ أَصْلاً فَلَيْسَ دَاخِلاً فِي الدُّنْيَا وَلا خَارِجًا عَنْهًا".

Maksudnya:
“…dan setiap sifat perkara baharu yang melintasi benak anda maka jangan anda mempercayai bahawa pada Allah itu ada sesuatu daripada perkara tersebut, dan tiada bagi-Nya suatu tempat dengan asal. Maka Dia bukan di dalam dunia dan bukan juga di luarnya”.

Al-Shaykh Muhammad Mukhtar ibn `Utarid al-Buquri berkata dalam kitabnya Usul al-Din I`tiqad Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah[10]:

“(Keempat) Mukhalafatuhu li al-hawadith ertinya bersalahan Allah ta`ala bagi sekalian yang baharu yakni zat Allah ta`ala itu bukan jirim dan bukan jisim yakni bukan barang yang ada pada diriannya serta memenuhi lapang, dan zat Allah ta`ala tiada ada tempat-Nya; tiada Ia di langit dan tiada di bumi dan tiada pada lainnya dan tiada Ia pada satu pihak; tiada di bawah dan tiada di atas dan tiada di utara dan tiada di selatan dan tiada di timur dan tiada di barat…”.

Al-Shaykh Muhammad Mukhtar berkata lagi[11]:

“(Maka) mustahil Allah ta`ala bersamaan dengan sekalian yang baharu yakni mustahil Allah ta`ala zat-Nya ada berjirim dan berjisim yakni ada perdirian-Nya yang memenuhi lapang dan mustahil zat-Nya ada tempat-Nya seperti di langit atau lainnya dan mustahil zat-Nya ada di dalam satu pihak seperti di atas atau lainnya…”.

Al-Shaykh Wan Isma`il ibn `Abdil-Qadir Ibn Mustafa al-Fatani yang masyhur dengan panggilan Pak Da Eil berkata dalam kitabnya Sharh Bakurah al-Amani li-Isharah `Awam Ahl al-Fatani[12]:

“(Keempat: Mukhalafatuhu ta`ala  li al-hawadith;) ertinya menyalahi-Nya ta`ala akan yang baharu-baharu. Dan dikehendaki dengan dia akan (bersalahan Allah taala) sedia kala lagi berkekalan (akan yang baharu-baharu ertinya ketiadaan menyamai-Nya) dan ketiadaan menyerupai-Nya ta`ala (akan sesuatu daripada makhluk) ini (pada zat-Nya) kerana bahawasa zat makhluk ini jirim yang bertempat dan zat-Nya ta`ala itu bukannya jirim (tiada pula) menyamaikan dia (pada sifat-sifat-Nya) kerana bahawasa sifat-sifat makhluk ini `arad yang bertangkup pada jirim dan menu[m]pan[g]kan dia pada bertempat dan sifat-sifat-Nya taala itu bukannya `arad...”.

Al-Shaykh Husayn Nasir Ibn Tayyib al-Mas`udi al-Banjari berkata dalam kitabnya Hidayah al-Mutafakkirin[13]:

“Ertinya zat Allah ta`ala itu bukan Ia jirim dan jisim dan jawhar fard dan tiada Ia berpihak dan tiada Ia pada satu pihak bagi jirim dan tiada Ia bertempat dan tiada Ia bermasa dan tiada Ia bersifat dengan kecil dan tiada Ia bersifat dengan besar dan tiada Ia bersifat dengan segala sifat yang baharu ini…”.

Al-Shaykh `Abdul-`Aziz ibn Isma`il al-Fatani berkata dalam khutbah kitabnya al-Misbah al-Munir fi Ma`rifatillah al-Qadir[14]:

“Dan aku memohon kepada Allah pula bahawa menjadikan risalah ini perisai yang dapat mempertahankan dan dapat menolakkan akan segala ajaran-ajaran yang sesat yang menyesatkan orang awam, yang dibawa akan dia oleh orang-orang yang tidak sangkakan dengan jahilnya seperti ajaran-ajaran yang mengatakan tidak wajib belajar sifat-sifat dua puluh yang termasyhur itu dan ajaran-ajaran melihat Tuhan di dalam dunia, dan ajaran-ajaran yang memegang dengan zahir ayat mutashabihah dan mengatakan Tuhan bertempat dan sebagainya daripada ajaran-ajaran sesat”.

Al-Shaykh `Abdul-`Aziz al-Fatani berkata lagi di tempat yang lain dalam kitabnya yang sama[15]:

“Dan makna bersalahan itu tiga perkara; bersalahan pada zat dengan makna zat Allah taala bukannya jirim yang bertempat walaupun di mana tempat dan makhluk ini semuanya jirim yang bertempat. Kalau begitu tidak boleh dikatakan Allah taala itu bertempat di mana-mana tempat, maka jika didapati di dalam Quran dan hadith barang yang memberi waham menyerupai dan bertempat maka dinamakan ayat itu ayat mutashabihah dan hadith mutashabihah, maka wajib ditakwil akan dia supaya lepas daripada shubhah itu sama ada takwil itu dengan jalan ijmal seperti takwil ulama salaf atau takwil akan dia dengan jalan tafsil seperti takwil ulama khalaf”.

Al-Syaikh Ahmad bin Muhammad Zain bin Musthafa bin Muhammad al-Fathani di dalam kitabnya yang masyhur di tanah jawi iaitu  Faridah al-Faraid fi `Ilm al-`Aqaid[16]:

“(Keempat Mukhalafatuhu ta`ala Lilhawadith) ertinya bersalahan Tuhan subhanahu wa ta`ala bagi yang baharu dan maknanya ketiadaan menyamai Allah ta`ala bagi segala makhluk dan jika pada suatu wajah sekalipun kerana segala yang baharu ini tiada suci ia daripada bahawa ada ia jauhar[17] atau ada ia `Aradh dan Allah ta`ala bukannya Jauhar dan bukannya `Aradh maka tiada ia menyerupai akan sesuatu daripada makhluk sekali-kali”.

Al-Syaikh Ahmad bin Muhammad Zain bin Musthafa bin Muhammad al-Fathani di dalam kitabnya  `Unwan al-Falah Wa `Unfawan al-Falah[18]:

“(Keempat Mukhalafatuhu ta`ala Lilhawadith) ertinya bersalahan Allah ta`ala bagi segala yang baharu iaitu bahawasa zat Allah ta`ala tiada seperti segala zat yang baharu dan tiada sifat Allah ta`ala seperti segala sifat yang baharu dan tiada perbuatan Allah ta`ala seperti segala perbuatan yang baharu (mustahil) lawannya iaitu Mumathilatuhu Lilhawadith ertinya menyerupai-Nya bagi segala yang baharu (dan dalil) bersalahan Allah ta`ala bagi segala yang baharu bahawasanya jikalau menyerupai ia akan sesuatu daripada yang baharu nescaya adalah ia baharu seumpamanya dan iaitu mustahil kerana telah thabit sedia-Nya maka thabitlah bersalahan bagi segala yang baharu”.


Disebutkan di dalam kitab Risalah al-Tauhid pada pindaan Al-Syaikh `Abdul Ghani Yahya dan `Umar Yusof  pada menjelaskan mengenai Mukhalafatuhu Lilhawadith[19]:

“Yang keempat- dalil mukhalafatuhu Lilhawadith iaitu jikalau Tuhan serupa dengan yang baharu nescaya jadilah Tuhan ini baharu juga kerana barang yang boleh jadi atas salah suatu daripada dua yang serupa itu harus pula atas lainnya maka baharu Tuhan itu mustahil kerana telah wajib bagi Tuhan bersifat qidam dan baqa’ yang demikian tetaplah Tuhan itu bersalahan dengan segala yang baharu bagaiman dalil naqilnya ((ليس كمثله شيء)) ertinya tiada sesuatu jua pun serupa dengan Tuhan”.


Al-Syaikh al-Haj `Abdullah bin al-Haj Ibrahim al-Fathani di dalam kitabnya iaitu syarah bagi kitab Faridah al-Faraid yang berjudul  `Umdah al-Thalib al-Mujtahid fi Syarh Faridah al-Faraid fi `Ilm al-`Aqaid fi Darajat Ibtida’ ta`lim `Ilm al-`Aqaid Targhiban fi Fauz al-Faraid al-Fawaid[20]:

“(ليس كمثله شيء وهو السميع البصير) ertinya tiada seperti umpamanya ertinya umpama Allah suatu dan ialah ertinya Allah ta`ala yang amat mendengar dan amat ,elihat dan makna tiada seperti suatu itu tiada suatu daripada zat-zat makhluk dan sifat-sifatnya dan perbuatan-perbuatannya seumpama Zat Allah ta`ala dan sifat-sifat-Nya dan perbuatan-perbuatan-Nya kerana zat-Nya ta`ala bukannya daripada bangsa jirim dan sifat-sifat-Nya bukannya bangsa `Aradh”.

Al-Syaikh Ibrahim al-Laqani pengarang Matan Jauharah al-Tauhid dan telah diterjemahkan oleh seorang ulama’ tanah jawi dengan bahasa melayu[21]:

"وَإِنَّهُ لِمَا يَنَالُ الْعَدَمُ ، مُخَالِفٌ بُرْهَانُ هَذَا الْقِدَمُ".

Maksudnya:
"Yakni bahawa sesungguhnya kerana yang diperolehi dengan `adam itu mukhalafah dengan wujud Allah subhanahu wa ta`ala dan sifat-Nya dan af`al-Nya (syahdan) wajib atas tiap-tiap mukalaf itu mengiktiqadkan bahawasanya zat Allah ta`ala dan sifat-Nya dan af`al-Nya itu Mukhalafah dengan segala wujud yang baharu dan kata setengah ulama’ erti mukhalafatuhu Lilhawadith itu maka iaitu rajin daripada menafikan barang yang tiada dapat bagi Allah ta`ala seperti jirim dan `Aradh dan kulliyyat dan juz’iyyat dan barang sebagainya kerana bahawasanya segala wujud yang baharu itu ada kalanya jisim dan ada kalanya jauhar dan ada kalanya `Aradh (dan) `Aradh itu bahagi atas empat bahagi pertama zaman kedua makan ketiga jihah keempat had serta nihayah maka samanya itu tentu baharunya dan muhal qidam-Nya dan suci Allah ta`ala daripada demikian itu".


SULTAN SELANGOR DARUL EHSAN AL-MARHUM AL-SULTANUL-MU`AZZAM `ALA'UD-DIN SULAYMAN SHAH

Al-Sultanul-Mu`azzam `Ala’ud-din Sulayman Shah berkata di dalam kitab baginda Pohon Agama; Bahagian Rukun Iman[22]:

“5. “Qiyamuhu bi-nafsi-hi” maka bukan Ia jirim (mengambil lapang) dan bukan Ia `arad (barang yang berkehendak kepada tempat pendiriannya). Maka tiada Ia di atas sesuatu dan tiada Ia di bawah sesuatu dan tiada ada kanan sesuatu dan tiada di kiri sesuatu dan tiada di hadapan sesuatu dan tiada di belakang sesuatu dan tiada bagi-Nya atas dan tiada bagi-Nya bawah dan tiada bagi-Nya kanan dan [tiada] bagi-Nya kiri dan tiada bagi-Nya hadapan dan tiada bagi-Nya belakang dan tiada bermasa dan tiada bertempat dan tiada disifatkan zat-Nya dengan kecil atau besar atau panjang atau pendek dan tiada bersifat zat-Nya dengan warna putih atau kuning atau hijau atau barang sebagainya dan tiada bermasuk-masukkan dengan sesuatu dan tiada Ia mengambil manfaat atau kerana menolakkan mudarat”.

JAKIM (JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA)

Selanjutnya, Bahagian Hal Ehwal Agama Islam (BAHEIS) [sekarang dikenali sebagai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)], Jabatan Perdana Menteri telah menerbitkan sebuah kitab yang berjudul “Mestika Hadis Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam” yang secara kerjasama ditulis dan disusun oleh Sahibul-Fadilah Dato’ Hj. Muhammad Nor bin Hj. Ibrahim, Tn. Hj. Ismail bin Hj. Yusuf dan al-Syeikh `Abdullah bin Muhammad Basmeih. Di dalam jilid 1 kitab tersebut ada dinyatakan aqidah tanzih yang menquduskan Allah dari jisim, arah, tempat dan masa. Berikut adalah petikannya[23]:

“Dengan thabitnya keesaan yang sebenarnya bagi Allah ta`ala, maka nyatalah bahawa wujud Dzat-Nya bersih suci daripada tersusun yang membawa kepada berjisim atau berpihak (bertempat)”.

Kemudian ketika menjelaskan makna Surah Al-Syura ayat 11 ada dinyatakan[24]:

“(4) Menyalahi segala rupa bentuk, segala corak warna dan segala cara dan gaya yang didapati oleh pancaindera atau yang difikirkan oleh akal, juga berkeadaan tidak diliputi oleh masa atau tempat ta`alallahu `amma yasifun”.


 FATWA MUFTI SELANGOR

Nombor Rujukan Jabatan Mufti Selangor: ( 90 ) dlm.mufti.sel 500-1.Jld.3 Bertarikh 13 Ogos 2010 / 03 Ramadhan 1431. Jawapan Fatwa Adalah Seperti Berikut:

i- Kepercayaan Allah berjisim dan bersifat duduk bersila atau Allah bertempat adalah kepercayaan atau i'tiqad kaum MUSYABBIHAH (MUJASSIMAH). Dinamakan kaum musyabbih (menyerupakan) kerana mereka menyerupakan Allah dengan makhlukNya. Mereka mengatakan bahawa Allah bertangan, berkaki, bertubuh seperti manusia. Di antara i'tiqad sesat mereka yang bertentangan dengan i'tiqad Ahlusunnah Wal Jamaah ialah seperti berikut:


a. Allah bermuka dan bertangan.
b. Allah duduk bersila di atas arasy.
c. Allah berada di langit.
d. Allah bertubuh serupa nur.

I'tiqad seperti di atas adalah bertentangan dengan i'tiqad Ahlussunnah Wal Jamaah lagi sesat dan menyesatkan kerana Allah tidak boleh sekali-kali diserupakan dengan makhluk (al-Syura ayat 11). I'tiqad ini membawa kepada syirik yang mengeluarkan seseorang daripada Islam.

ii- Amalan bertawassul sama ada dengan nabi atau orang soleh adalah diharuskan kerana pada hakikatnya mereka yang bertawassul itu beri'tiqad segala usaha ikhtiar dan doa yang dilakukan oleh manusia hanya Allah sahaja yang memperkenankannya. (al-Maidah 35)


 [1] Kami turut menyenaraikan kata-kata ulama’ Melayu Nusantara bagi membuktikan bahawa apa yang kami nyatakan di sini sebenarnya telah lama dinyatakan oleh ulama’-ulama’ Melayu dahulu. Selain itu, penulis mahu membuktikan bahawa ilmu ulama’-ulama’ Melayu dahulu bukanlah cetek seperti yang disangka oleh golongan Wahhabi. Golongan Wahhabi sering mendakwa bahawa dengan mempelajari kitab-kitab kuning ini, ilmu kita tidak akan sampai ke mana. Bagi mereka mempelajari kitab-kitab kuning akan menjadikan seseorang itu berfikiran beku dan jumud. Semoga Allah meredhai ulama’-ulama’ kita yang telah menerangi rantau nusantara ini dengan ilmu-ilmu mereka.

[2] Al-Shaykh Dawud al-Fatani(t.t), al-Durru al-Thamin, Pulau Pinang: Percetakan Almuarif Sdn Bhd, h. 23.

[3] Al-Shaykh `Abdus-Samad al-Falimbani(t.t), Hidayat al-Salikin, Pulau Pinang: Maktabah wa-Matba`ah Dar al-Mu`arif, h. 8

[4] Al-Shaykh Zayn al-`Abidin ibn Muhammad al-Fatani (t.t), `Aqidah al-Najin fi `Ilm Usul al -Din, (t.t.p): Mathba`ah Bin Halabi Press, h. 18 – 19.

[5] Al-Shaykh Zayn al-`Abidin Ibn Muhammad al-Fatani(1343 H), Irshad al-`Ibad ila Sabil al-Rashad, Singapura: al-Matba`ah al-Ahmadiyyah, h. 4 - 5.

[6] Al-Shaykh Muhammad Zayn Ibn al-Faqih Jalal al-Din al-Ashi(t.t), Bidayah al-Hidayah Sharh Matn Umm al-Barahin, Thailand, Bangkok: Maktabah wa-Matba`ah Muhammad al-Nahdi wa-Awladih, Bangkok, h. 13.

[7] Al-Shaykh Muhammad Ibn Isma`il Dawud al-Fatani(t.t), Matla` al-Badrayn wa-Majma` al-Bahrayn, (t.tp): Maktabah wa-Matba`ah Muhammad al-Nahdi wa-Awladih, h. 6.

[8] Al-Shaykh Muhammad Nawawi al-Bantani(t.t), al-Thimar al-Yani`ah fi al-Riyad al-Badi`ah, Kaherah: Muhammad al-Kutbi, h. 5.

[9] Al-Shaykh Muhammad Nawawi al-Bantani(t.t), Nur al-Zalam Sharh Manzumah `Aqidah al-`Awam, Jeddah: Dar al-Hawi, h. 37.

[10] Al-Shaykh Muhammad Mukhtar Ibn `Utarid al-Buquri(t.t), Usul al-Din I`tiqad Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah, Pulau Pinang: Percetakan Nahdi, h. 2.

[11] Ibid, h. 3.

[12] Al-Shaykh Wan Isma`il Ibn `Abdil-Qadir ibn Mustafa al-Fatani(1421 H/ 2000 M), Sharh Bakurah al-Amani li-Isharah `Awam Ahl al-Fatani, Kuala Lumpur: Khazanah Fathaniyah, h. 24 -  25.

[13] Al-Shaykh Husayn  Nasir Ibn Tayyib al-Banjari(t.t), Hidayah al-Mutafakkirin, Pulau Pinang: Percetakan Almuarif Sdn. Bhd, h. 6.

[14] Al-Shaykh `Abdul-`Aziz Ibn  Isma`il al-Fatani(1414 H/ 1994), al-Misbah al-Munir fi Ma`rifatillah al-Qadir, (t.tp): (t.p), c. 3, , h. 3.

[15] Ibid. h. 16 – 17.

[16] Al-Shayk Ahmad bin Muhammad Zain bin Musthafa bin Muhammad al-Fathani (t.t.), Faridah al-Faraid fi `Ilm al-`Aqaid, Fathani Thailand: Mathba`ah Bin Halabi Press, h. 6.

[17] (قوله atau ada ia `Aradh) iaitu sesuatu yang maujud yang berhajat pada adanya kepada tempat yang menempati ia padanya seperti warna dan gerak dan diam dan jauh dan hampir. Intaha. Muallif. (Kalam Syaikh Ahmad).

[18] Al-Shayk Ahmad bin Muhammad Zain bin Musthafa bin Muhammad al-Fathani (t.t.), `Unwan al-Falah Wa `Unfawan al-Falah, Fathani Thailand: Mathba`ah Bin Halabi Press, h. 5.

[19] Al-Syaikh `Abdul  Ghani Yahya dan `Umar Yusof (t.t.), Risalah al-Tauhid, Fathani Thailand: Mathba`ah Bin Halabi Press, h. 38.

[20] Al-Syaikh al-Haj `Abdullah bin al-Haj Ibrahim al-Fathani (t.t.), `Umdah al-Thalib al-Mujtahid fi Syarh Faridah al-Faraid fi `Ilm al-`Aqaid fi Darajat Ibtida’ ta`lim `Ilm al-`Aqaid Targhiban fi Fauz al-Faraid al-Fawaid, Fathani Thailand: Mathba`ah Bin Halabi Press, h. 46.

[21] Syaikh Ibrahim al-Laqani (t.t), Matan Jauharah al-Tauhid, (t.t.) Fathani Thailand: Mathbah Bin Halabi Press, h. 16.

[22] Al-Sultanul-Mu`azzam `Ala’ud-Din Sulayman Shah(2005), Pohon Agama; Bahagian Rukun Iman, Kuala Lumpur: Khazanah al-Fathaniyah hlm. 10.

[23]  Muhammad Nor bin Hj. Ibrahim (Dato’ Hj.), Ismail bin HJ. Yusuf (Hj.)dan Abdullah bin Muhammad Basmieh (1421 H-2000 R), Mestika Hadis Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam,  (t.tp): Bahagian Hal Ehwal Agama Islam, Jabatan Perdana Menteri, c. 8, h. 181.

[24]  Ibid, h. 183.


Artikel ini diambil dari facebook. Mohon izinkan dipaparkan di TMP demi mempertahankan aqidah dan iktiqad ummat Islam dan Melayu khasnya.


0 comments:

Catat Ulasan

Assalamu'alaikum wbt dan salam sejahtera. Selamat membaca.

 

Copyright © T H E . M A L A Y . P R E S S Design by Free CSS Templates | Blogger Theme by BTDesigner | Powered by Blogger