"Education aims at independence of judgement. Propaganda offers ready-made opinion for the unthinking herd."
THEMALAYPRESS - FIKIR DENGAN KRITIS | TERUS MELANGKAH LEBIH JAUH.

Assalamu'alaikum wbt dan salam sejahtera. Terima kasih kepada para pembaca yang masih setia mengikuti blog ini!
~ MOHAB (Blog layout versi 1 September 2014 - 17.07.2014 - 19 Ramadhan 1435)

Khamis, Mei 22, 2008

UMNO Bukan Parti Politik

[Komen penulis: Teringin sekali penulis untuk percaya kisah dibawah. Kalau dahulu mungkin ye. Mengikut teks sejarah Inggeris sekolah rendah dan menengah, apa yang dikatakan itu nampak cantik jalan ceritanya dan ada relevannya. Cuma sejarah itu tergantung pada pangkalnya...tiada pemutus!

Telah distereotaipkan, disetiap dipenghujung kisah politik seperti berikutnya akan berakhir dengan kelemahan orang Islam semenanjung! Seperti kerbau dicucuk hidung kita dimestikan percaya Melayu itu patuh pada Sultan dan Raja. Patuh kepada parti politik dan sebagainya. Paling ketara kisah Hang Tuah! Ya Tuanku, Menjunjung titah Tuanku...tidak boleh menderhaka biarpun raja itu zalim. Benarkah begitu? 

Terjebak dengan Konsep Bangsa Melayu dan Ketuanan Melayu.
Hang Tuah adalah hero Melayu kerana membunuh sahabat kerana mempertahankan Raja...ceritanya penuh tahyul-khurafat, bergantung pada keris untuk jadi kuat. Ini adalah konflik pemikiran yang ditinggalkan Inggeris (ada sedikit unsur2 mithos King Arthur dan Excalibur)...belakang, Melayu dok bertelingkah Hang Tuah betulkah Hang Jebat yang betul? Sampai sekarang tak sudah...yang penting jangan menderhaka...hikayat ini melembamkan otak melayu dari orang kampung sehingga ke peringkat Phd universiti! 

Bukan sedikit kaki2 nombor dan tok bomoh menurun menjadi Hang Tuah...dalam satu malam ada beribu Hang Tuah turun memberi no ekor dan penawar! Bayangkan.

Inilah acu pemikiran yang dimahukan oleh British setelah berambus meninggalkan Malaya. Tiada langsung kisah yang Melayu itu patuh pada para syariat Agamanya, Ulama, Nabinya dan suruhan Tuhannya! Melayu hari ini terkongkong dalam litupan paradigma yang berasaskan khayalan-fantasi puak Orientalis dan penjajah Inggeris.

Merdeka dengan tanpa penumpahan darah kononnya! Kita pun termakan...kenyang berdengkur dibuai hak keistimewaan dan ketuanan. 

Umpama tuan rumah tinggal sebumbung dengan penyewa..."ini jamban hak istimewa saya, ini peti-ais hak istimewa saya...saya tuan rumah ..awak mesti hormat saya...tapi awak boleh bukak kedai depan rumah...saya tuan rumah cuma boleh meniaga kecik2 tepi kedai awak".

Itulah konsep ketuanan bangsa hadiah dari British. Mula2 oklah, lama2 porak peranda. Sampai bila konsep ketuanan bangsa ini akan dipertahankan. Nak harap Raja?  Tak percaya tengok sahaja depan mata konsep WPI - Johor...ada siapa yang berani bantah?

Hari ini penulis memilih untuk menapis beberapa bahagian yang perlu, sementara teks Undang-Undang Kedah (yang berlandaskan syariat Islam disesuai dengan adat orang kita) ada ditangan beberapa fakta perlu diperbetulkan. Sejarah ketamadunan bangsa dan semangat juang pejuang agama dan tanahair jangan sesekali dipadamkan !

UMNO Bukan Parti Politik adalah tajuk untuk slot blog ini. Tajuk sebenar artikel yang penulis ambil dari Harakah adalah seperti dibawah (belum edit)

Dalam konteks Malaysia hari ini, Melayu itu adalah melayu seperti yang diistilahkan oleh Stamford Raffles.]

-------------------------------------------------------------------------
Berbanding PKMM, Umno parti tanpa wawasan jauh
Maulana Purnama
Thu | May 22, 08 | 5:30:03 pm MYT

� Tanggal 11 Mei ulang tahun Umno ke-62. Umno ditubuhkan ketika orang Melayu menentang Malayan Union. Pengasasnya, Dato' Onn Jaafar menegaskan Britain tidak berhak menubuhkan Malayan Union yang hendak dijadikan tanah jajahan kerana negeri-negeri Melayu  sembilan semuanya bukan tanah jajahan tetapi hanyalah naungan. Orang Melayu  diajak bangkit menentang Malayan Union.

� Sememangnya Britain tidak punyai hak. Ini kerana hak ke atas negeri-negeri Melayu - Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan, Perlis, Kedah, Perak, Selangor dan Kedah - masih berada di bawah kedaulatan Raja-Raja Melayu.

� Britain hanya menjadi penaung dan bukannya penjajah. Tetapi penaung dengan izin Raja-Raja Melayu. Tentunya izin dalam paksa.  Sementara itu Raja-Raja Melayu, seperti mana yang dipaparkan dalam Sejarah Melayu , atau nama sebenarnya Sulatus Salatin menjadi raja kerana perjanjiannya dengan rakyat, yang diwakili Bendahara. Raja hanya ada kerana ada rakyat.

� Raja dianggap tuan, sebab itu dipanggil tuanku. Sementara rakyat adalah hamba. Tetapi konsep tuan dan hamba dalam kerajaan Melayu bukanlah seperti sistem perhambaan di Barat. Rakyat bukan milik raja. Tetapi kedaulatan raja adalah kerana amanah yang diberikan hambanya iaitu rakyat.

� Dalam bahasa seharian, maka disebut tuan hamba untuk menunjukkan saudara dan hamba untuk menunjukkan saya. Saya berasal daripada perkataan sahaya. Justeru raja dan rakyat dalam konsep kerajaan Melayu bersifat demokratik. Raja adil disembah, raja zalim disanggah adalah jelas dinyatakan Tun Seri Lanang dalam Sulatus Salatin. Maknanya rakyat dalam kerajaan Melayu mencari seseorang untuk dijadikan raja bagi memerintah secara adil.

� Tentunya dalam sejarah moden ini, hanya ada 10 Raja Melayu. Sembilan di Malaysia dan satu di Brunei. Apa yang ada adalah Kedaulatan Raja-Raja Melayu dan Ketuanan Raja-Raja Melayu dalam konteks kontrak sosial dengan rakyatnya. Istilah dulu disebut hamba, tetapi ia tidak bermaksud hamba seperti difahami zaman moden. Rakyatnya boleh menyanggah raja jika zalim, dan keseluruhan Sulatus Salatin mengisahkan peri pemerintahan Raja-Raja Melayu, ada yang adil dan ada yang zalim. Kehidupan Hang Tuah dan Hang Jebat menggambarkan keadilan dan kezaliman dalam sejarah Melayu.

� Maka rakyat kepada kerajaan Melayu adalah orang Melayu. Di sini konsep Melayu sebagai rakyat kepada Raja-Raja Melayu. Justeru asas kepada kedaulatan dan ketuanan Melayu dan Raja-Raja Melayu adalah kedaulatan dan ketuanan rakyat. Perkara ini pernah diungkapkan Dr Burhanuddin Al-Helmi bagi memecahkan masalah kerakyatan penduduk Tanah Melayu yang bukan keturunan orang Melayu. Beliau menggagaskan kewarganegaraan Melayu sebagai rakyat Raja-Raja Melayu bagi Tanah Melayu yang merdeka.

� Inilah juga polisi umum Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), parti pertama orang Melayu yang ditubuhkan pada 1945. Ia disebut kembali Dr Burhanuddin ketika beliau menjadi Yang Dipertua PAS kemudiannya. Jadi apabila Britain hendak menjadikan negeri-negeri Melayu ini dicantumkan dengan empat wilayah negeri-negeri Selatan, yang sudah pun menjadi tanah jajahannya, iaitu Pulau Pinang, Seberang Perai, Dinding dan Melaka untuk menjadi Malayan Union, mereka berjaya mendapat keputusan raja-raja Melayu melalui ugutan bahawa jika ditentang, penjajah itu akan menjatuhkan mereka atas alasan bekerjasama dengan Jepun ketika Perang Dunia Kedua.

� Semasa Perang Dunia Kedua, negeri-negeri Melayu yang tinggal hanyalah lima iaitu Perak, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor. Ini kerana Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu diserahkan oleh Jepun kepada Siam.

� Walaupun Jepun menjajah Tanah Melayu, mereka tidak menghapuskan institusi raja. Ini kerana Raja-Raja Melayu tidak menentang mereka. Tetapi atas alasan ini pula, Britain mencabar kedudukan mereka jika Raja-Raja Melayu tidak mahu melepaskan kedaulatannya kepada Malayan Union. Tidak ada jalan lain, maka Raja-raja Melayu menandatanganinya.

� Dan inilah yang dicabar Dato' Onn yang menyatakan Raja-Raja Melayu tidak berhak melepaskan kedaulatannya tanpa izin rakyatnya, iaitu orang Melayu di negeri masing-masing. Maka untuk itu, dianjurkan Kongres Melayu bagi menggembleng semua pertubuhan Melayu.

� Ikut serta adalah PKMM, parti Melayu terbesar ketika itu, menjadi salah satu peserta. Pada mulanya PKMM menyokong gagasan Malayan Union kerana melihat kebaikan percantuman negeri-negeri untuk menjadi besar dan bersatu di samping mengembalikan Pulau Pinang, Seberang Perai dan Melaka ke tangan negeri-negeri Melayu. Lagipun pemahamannya ketika itu Malayan Union akan ditadbir secara moden dan mewujudkan sebuah negara merdeka, bersatu dan berdaya maju, tidak seperti Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu yang berpecah-pecah dan lemah.

� Tetapi apabila didapati tujuan British untuk menjadikan Malayan Union tanah jajahan yang tetap, barulah PKMM turut serta dengan panggilan Onn bagi menyertai Umno. Mulanya Umno hanya pertubuhan perpaduan persatuan Melayu bagi membincangkan isu-isu Melayu secara bebas dan tidak berparti. Lagipun yang menjadi parti politik hanyalah PKMM. Slogan utama Umno adalah Hidup Melayu dan penentangannya adalah terhadap Malayan Union. Tetapi Umno tidak mempunyai wawasan jauh. Sebaliknya PKMM mempunyai wawasan supaya usaha dibuat bagi mencapai kemerdekaan di samping melihat cara menubuhkan suatu negeri yang lebih besar bersama Indonesia. PKMM memperjuangkan Melayu Raya dan Nusantara.

� Tetapi persatuan Melayu yang lain tidak bersetuju dan ini membawa kepada PKMM keluar daripada Umno. Cadangannya supaya bendera Umno berwarna merah putih sama dengan Indonesia turut ditolak. Ini kerana Umno mahukan bendera merah putih, Sang Saka dengan warna kuning melambangkan keris. Kini bendera itu bernama Sang Saka Bangsa.

� Ketika PKMM mahukan merdeka, Umno yang ditubuhkan pada 11 Mei 1946 hanya mahukan kedaulatan Raja-Raja Melayu dikekalkan di bawah naungan kerajaan British.

� Setelah keluar, PKMM menubuhkan Pusat Tenaga Rakyat (Putera) menggabungkan parti Islam pertama negara ini iaitu Hizbul Muslimin, Barisan Tani Se-Malaya (Batas), Majlis Tertinggi Agama (Mata), Angkatan Pemuda Insaf (Api) dan beberapa pertubuhan Melayu yang tegas mahukan kemerdekaan Tanah Melayu.

� Putera bekerjasama dengan Majlis Tindakan Bersama Seluruh Malaya (AMCJA) memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu melalui dokumen bernama Perlembagaan Rakyat. Bendera mereka adalah merah putih dengan 12 bintang putih di sudut bagi menggambarkan Tanah Melayu termasuk Singapura. Britain menolak tuntutan merdeka ini dan memihak gagasan Persekutuan Tanah Melayu yang dicadangkan Umno.

� Gabungan Putera-AMCJA lebih kuat daripada Umno tetapi British bimbang kepentingannya akan terjejas jika kumpulan kiri itu berkuasa di Tanah Melayu. Maka Umno sendiri dilihat mesti memperjuangkan kemerdekaan bagi mengelakkan negara ini jatuh ke tangan kuasa-kuasa antipenjajah.

� British mengingatkan Onn bahawa kemerdekaan hanya akan diberi jika orang Melayu memberi kerjasama dengan bukan orang Melayu. Ini kerana banyak orang bukan Melayu adalah warganegara British terutama di Melaka dan Pulau Pinang. Maka Onn mencadangkan supaya Umno dibuka keahlian kepada orang bukan Melayu.

� Maknanya, Umno tidak ditubuhkan sebagai institusi kekal untuk orang Melayu. Ia hanya organisasi politik biasa bagi mencapai tujuan tertentu. Ahli-ahli Umno tidak dapat menerima cadangan Onn dan beliau keluar parti dengan menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP). Sementara Biro Agama Umno yang memihak kepada Onn turut keluar parti itu. Biro ini kemudian menjadi PAS pada 1951.

� Tetapi Umno akur dengan kehendak British dan akhirnya bekerjasama dengan MCA untuk menubuhkan Perikatan. Pada pilihan raya 1955, semua pemimpin PKMM telah ditahan oleh British (ketika darurat diisytiharkan pada 1948 - peng.). Perisytiharan darurat telah melumpuhkan PKMM. Maka British hanya mahukan rakyat Tanah Melayu ini memilih antara Perikatan dengan IMP. Antara kedua sahabat penjajah ini, rakyat memilih Perikatan. Maka negara ini diserahkan oleh penjajah kepada Umno.

� Bagaimanapun, pada pilihan raya lepas merdeka (1959), jelas orang Melayu tidak monolitik dengan menyokong Umno semata-mata. Orang Melayu menyatakan yang mereka mempunyai pilihan alternatif, maka pada pilihan raya pertama Tanah Melayu merdeka, Kelantan dan Terengganu memilih PAS dan menolak Umno.

� Onn yang memimpin Parti Negara, untuk menggantikan IMP adalah juga sekutu PAS. Juga dengan Parti Rakyat. Turut merasmikan penubuhan Parti Rakyat adalah Dr Burhanuddin, yang memilih PAS sebagai wadah perjuangan Tanah Melayu merdeka.- tajdid

0 comments:

Catat Ulasan

Assalamu'alaikum wbt dan salam sejahtera. Selamat membaca.

 

Copyright © T H E . M A L A Y . P R E S S Design by Free CSS Templates | Blogger Theme by BTDesigner | Powered by Blogger