"Education aims at independence of judgement. Propaganda offers ready-made opinion for the unthinking herd."
THEMALAYPRESS - FIKIR DENGAN KRITIS | TERUS MELANGKAH LEBIH JAUH.

Assalamu'alaikum wbt dan salam sejahtera. Terima kasih kepada para pembaca yang masih setia mengikuti blog ini!
~ MOHAB (Blog layout versi 1 September 2014 - 17.07.2014 - 19 Ramadhan 1435)

Sabtu, Mac 24, 2012

Negara Kehilangan Dua Tokoh Besar Persilatan dan Kewartawanan

0 comments
Negara kehilangan dua tokoh besar dalam bidang persilatan dan kewartawanan dalam tempoh tidak kurang  seminggu. Kehilangan pertama adalah apabila perginya Panglima Melayu Sejati era moden iaitu YM Tuan Haji Ishak Itam, 77, Guru Utama Silat Cekak Malaysia, yang telah kembali kerahmatullah pada 12 Mac 2012 pada jam 4:45 yang diikuti seminggu kemudian oleh iaitu Tan Sri Mazlan Nordin, Wartawan Negara yang kembali kerahmatullah pada tanggal 22 Mac 2012 pada jam 4:15 petang.

Sesungguhnya kepergian mereka berdua amat dirasai dan merupakan kehilangan besar buat negara amnya dan umat Melayu generasi hari ini khasnya.

Semoga Allah taala mencucuri rahmat ke atas kedua-duanya dan ditempatkan bersama orang-orang yang salleh.

Sekian.
TMP

Tokoh wartawan Tan Sri Mazlan Nordin meninggal dunia
22/03/2012 5:11pm

Allahyarham Tokoh Wartawan Malaysia Tan Sri Mazlan Nordin

KUALA LUMPUR 22 Mac - Tokoh wartawan yang juga bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu, Tan Sri Mazlan Nordin, 87, meninggal dunia hari ini di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini selepas terjatuh di bilik air di rumah anaknya semalam.

Anak keempat beliau, Yuri Azhar, 39, berkata, kejadian tersebut berlaku pada petang semalam di rumah kakaknya di Petaling Jaya.

“Bapa berada dalam keadaan kritikal selepas terjatuh semalam dan doktor memberinya sedatif. Beliau meninggal dunia kira-kira pukul 4.15 petang ini,” katanya di sini hari ini. - UTUSAN

sumber:http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0322&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_26.htm

Sedikit mengenai allahyarham Tan Sri Mazlan Nordin:

Mazlan pernah bertugas di akhbar Utusan Melayu, Voice of America, kemudian kembali ke Utusan Melayu, ke akhbar Berita Harian, seterusnya ke Bernama, sebelum kembali ke Utusan Melayu dan kemudian menjadi Pengerusi Bernama.

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menganugerahkan beliau Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam bidang komunikasi di atas jasanya kepada bidang kewartawanan pada konvokesyen 2005.

Selain itu beliau turut dianugerahkan Tokoh Wartawan Malaysia pada 2002 dan Tokoh Wartawan Terbilang UKM 2009. – BERNAMA

Sedikit mengenai almarhum Hj Ishak Itam:

YM Guru Utama Silat Cekak Malaysia Almarhum Ustaz Hj Ishak Itam

Almarhum YM Tuan Haji Ishak Itam dilahirkan pada tanggal 22hb Julai 1935 bersamaan 20hb Rabiul Akhir 1354 hari Isnin, di kampung (Batu 9) dalam mukim Tanah Liat, Bukit Mertajam, Seberang Perai. Merupakan seorang anak pertama lelaki yang dilahirkan kepada Patimah dan Itam bin Saad. Haji Ishak mempunyai titisan benih jalinan ulama melalui keturunan ayah beliau, Itam bin Saad yang merupakan seorang Hafiz Al-Quran, manakala Tok Mohsin ayah kepada Saad adalah berketurunan Banjar yang berasal dari Indonesia dan telah dilahirkan dalam keluarga para ulama terbilang. Ibu beliau pula berketurunan Melayu dari Setui melalui talian darah dengan Tok Jusof iaitu bapa kepada Tok Sopiah yang telah melahirkan Patimah, ibu kepada Haji Ishak bin Itam. Bapa kepada ibu beliau pula iaitu Mat Udin ialah anak seorang panglima istana kerajaan negeri Perlis yang digelar Panglima Taha.

Almarhum sejak dari kecil lagi telah meminati seni silat Melayu, iaitu bermula dari umur 9 tahun sehingga ke umur 18 tahun beliau telah mempelajari Silat Gayung Fatani melalui bapa saudaranya En. Bakar dan En. Shafie b. Din. Seterusnya beliau mempelajari Silat Kuntau Jawa dari En. Hassan Jawa selama 2 tahun dan kemudiannya telah mempelajari Silat Sendeng dan Silat Minangkabau. Kemudian beliau mempelajari pula Tomoi Siam dari En. Osman b. Ahmad (Man Balak) sehingga beliau menjadi Guru Tomoi selama 2 tahun. 



Selain daripada ilmu persilatan, beliau telah mempelajari ilmu kebatinan melalui Ustaz Azizan (Izan). Di samping itu, beliau telah mempelajari cara-cara membuat ubat tradisional merawat penyakit kencing manis. Tuan Haji Ishak b. Itam juga pernah mendapat pendidikan agama secara formal di Pondok Tuan Haji Mat Salleh Mesir, Tanah Liat yang pada masa ini menempatkan Maktab Adabi. Kemudian belajar pula di Pondok Pokok Sena (tafsir) dengan Tuan Guru Haji Ahmad b. Tuan Haji Hussein. 



Almarhum mula mempelajari Silat Cekak pada tahun 1969, apabila YM Ustaz Haji Hanafi b. Haji Ahmad telah dapat membuka kelas di Bukit Mertajam bertempat di Kubang Semang iaitu terletak lebih kurang 2 batu dari Cawangan PSSCM Seberang Perai pada masa sekarang ini. YM Tuan Hj Ishak bin Itam telah berjaya belajar silat ini selama 30 hari latihan sahaja.

Setiap kali latihan, beliau sering dipukul oleh YM Ustaz Haji Hanafi dengan pokok teh pagar yang bertujuan hendak mengajar beliau supaya bersabar dan menerima ilmu silat ini dengan ikhlas hati dari tangan gurunya sendiri disamping menerima berbagai ujian dari gurunya. 

YM Ustaz Hanafi b. Haji Ahmad kemudiannya telah melantik beliau menjadi jurulatih.

Sepanjang penglibatan beliau sebagai jurulatih, banyak tempat dan Cawangan serta Kelas Latihan telah disertainya termasuklah di TUDM Butterworth (1977), Kepala Batas (1978), Cheruk Tok Kun (1975) dan di Kulim (1982). Beliau seringkali berulang alik mengajar silat ini di S. Perai dan P. Pinang. 

Apabila YM Ustaz Haji Hanafi kembali ke Rahmatullah pada 13 Ogos 1986, YM Tuan Haji Ishak bin Itam telah diisytiharkan sebagai YM Guru Utama pada 21 September 1986. Kelas pertama diijazahkan oleh beliau sebagai Guru Utama adalah di UPM pada 13 Oktober 1986 seramai 27 orang.

Almarhum YM Tuan Haji Ishak b. Itam adalah seorang  pemimpin berjiwa resmi padi, "low profile", seorang pendidik yang penyabar, tenang dalam segala hal, tabah menghadapi segala dugaan, sehinggalah beliau kembali kerahmatulah pada 12 March 2012 bersamaan 19hb Rabiul Akhir 1433 Hijrah, selepas Asar, hari Isnin pada usia 79 tahun.

Sesungguhnya tiada ganti serupa lagi setelah pemergiannya.

sumber: http://sejarahrealitisilatcekak.blogspot.com/2012/03/ym-ustaz-ishak-itam-kembali-ke.html
Read full post »
 

Copyright © T H E . M A L A Y . P R E S S Design by Free CSS Templates | Blogger Theme by BTDesigner | Powered by Blogger