"Education aims at independence of judgement. Propaganda offers ready-made opinion for the unthinking herd."
THEMALAYPRESS - FIKIR DENGAN KRITIS | TERUS MELANGKAH LEBIH JAUH.

Assalamu'alaikum wbt dan salam sejahtera. Terima kasih kepada para pembaca yang masih setia mengikuti blog ini!
~ MOHAB (Blog layout versi 1 September 2014 - 17.07.2014 - 19 Ramadhan 1435)

Selasa, April 15, 2008

Anjakan Paradigma.

Apabila perkataan 'anjakan paradigma' ini pertama kali diguna-pakai oleh media beberapa tahun dulu, penulis hanya membiarkannya berlalu pergi. Tidak dinafikan, bunyinya sedikit bombastik dan agak sedap didengar,namun penulis masih belum minat menggunakannya.

Secara jujur, penulis tidak begitu memahami maksud sebenar dan konteks ayat yang sesuai untuk dipadankan dengan kata saduran yang berasal dari bahasa omputih ini. Koman sungguh penulis.

Sehinggalah lebih kurang tiga bulan yang lepas, penulis berpeluang untuk menghadiri satu syarahan anjuran sebuah universiti swasta, bertempat di Suruhanjaya Sekuriti, Kuala Lumpur, yang bertajuk 'Paradigm Shift-Adapt or Die!' (Dasssat ni, macam tajuk album Megadet je...)

Telah disampaikan oleh seorang professor jemputan dari luar negara, khusus untuk menerangkan maksud 'anjakan paradigma'.

Yang menariknya, pada hari tersebut penulis tidak bersendirian. Rupanya ramai lagi yang koman. Dari wartawan akhbar-akhbar tempatan, pengurus syarikat-syarikat besar, peguam, arkitek sehinggalah ke para petani professional yang menolak Kubota demi satu anjakan paradigma...apa menatang?

Hampir 3 jam kami dipaparkan dengan slaid demi slaid, ditambah teori serta contoh. Penuh khusyuk menadah input (termasuklah dari mulut ke perut), diselang sesi soal jawab bersama hadirin. Akhirnya masing-masing tersenyum puas tanda terungkai sudah maksud yang dicari.

Sekurang-kurangnya berbaloi juga penyertaan penulis hari itu.

Iyalah bak kata cikgu sekolah rendah dulu, "kalau tidak dipecah ruyung manakan dapat sagunya, kalau tidak dikoyak jeans manakan nampak kepala lututnya". Rock ouu...


Kata Ahlul Politik
"Kita mestilah bersedia melakukan satu anjakan paradigma untuk berdaya saing". Apa barang ni bai? Wa dengar tajak, lu dengar pajak...? Berbuihlah kawan tu berceramah, dari surau ke madrasah, dari dewan sekolah ke bendang sawah, JKKK tahu angguk...kepala hangguk. (Jawatan Kuasa Kurang Kerja la katakannn...)

Jikalau ditanya balik, harammmm. Kalau tidak kena gaya memang tak faham. Melainkan JKKK mukim Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan dan Perak. Boleh jadi depa seme dari kalangan orang yang bijak-bijak!

Anjakan Paradigma - Berubah Cara.
Secara ringkasnya 'anjakan paradigma' ini bermaksud 'ubah kaedah atau ubah cara lama'.

'Ubah' ini termasuklah tukar, buang, tinggalkan, perbaiki dan sebagainya. Dan 'cara' pula ini termasuklah ruang-lingkup gaya pemikiran, kaedah,pentadbiran, teknik, 'approach' dan yang sama erti dengannya..

Itu saja pointnya. Ringkas dan mudah. Tidak perlu sampai 3 jam. Tetapi kalau konteks ayat ini diambil secara literal, maka harus dengan fesyen rambut JKKK sekali akan berubah.

Sedia Beranjak Supaya Tidak Ketinggalan.
Anjakan paradigma ini sesuai digunakan untuk menerangkan peri penting perubahan untuk sesuatu kemajuan berasaskan teknologi atau rekacipta terkini kepada masyarakat.

Bermaksud, paradigma akan sentiasa berubah selaras dengan perubahan dunia semasa. Apa sahaja yang menjadi perkara baru pada hari ini akan segera menjadi basi pada keesokkannya. Lebih-lebih lagi yang bersangkutan dengan ICT yang sentiasa berinnovasi menyajikan teknologi terkini. Contohnya telefon bimbit, notebook dan sebagainya.

Kerana apabila satu teknologi baru ditemui untuk mengatasi teknologi yang lama, maka satu anjakan paradigma diperlukan bagi menerima pakai paradigma yang baru tadi. Kebarangkalian untuk ketinggalan dalam perlumbaan teknologi amat tinggi jika tidak sentiasa di'update' dengan input terkini.

Paradigma Zon Selesa.
Paradigma yang sedia ada selalu dikategorikan sebagai paradigma zon selesa - atau comfort zone. Justeru, amat berat bagi mereka untuk meninggalkan paradigma zon selesa itu. Lebih-lebih lagi ia tidak mengganggu gugat status-quo yang dikecapi. Oleh itu, untuk melakukan anjakan paradigma, ia memerlukan satu kesedaran dan kekuatan dalaman untuk merobah kebiasaan itu.

Melainkan mereka mendapati zon selesa itu tidak lagi sesuai dengan gaya hidup mereka, lalu inginkan perubahan yang total, maka disitu anjakan paradigma lebih mudah dilakukan.

Tukar keta baru termasuk dalam anjakan paradigma juga ke bang? Boleh jadi, tapi yang ni profesor tu tak sebut la dek...pi tanya Tuan Khadi. Takut-takut ia menjadi 'anjakan paradigma-lapetaka' bagi diri sendiri, mana kita tahu, untung sabut timbul, untung batu?

Anjakan Paradigma dan Sejarah.
1. Mekanikal Swiss Vs Quartz Jepun
Dahulu pembuat jam mekanikal terkemuka dunia dikuasai oleh orang Swiss. Tidak mengguna bateri dan mereka sangat bangga dengan kepakaran itu. Tiada siapa yang boleh menggalahkan orang Swiss dalam kadeah pembuatan enjin jam. Akibatnya mereka leka dan selesa dalam paradigma itu lalu tidak memperdulikan idea dan teknologi baru yang lebih bernas.

Sehinggalah, Seiko dari Jepun, membuat 'reverse engineering' terhadap teknologi Quartz. Iaitu mengubah keseluruhan paradigma enjin mekanikal kepada enjin Quartz yang menggunakan bateri. Ini telah mengakibatkan perubahan menyeluruh terhadap industri tersebut.

Penerimaan jam Quartz yang begitu menggalakkan dari pengguna seluruh dunia menyebabkan penjualan jam mekanikal Swiss jatuh merudum. Hampir-hampir mereka gulung tikar.

Akhirnya, pengusaha jam Swiss terpaksa berubah dan menerima pakai paradigma baru (Adapt or Die!) dengan memperkenalkan jam Swatch berenjin Quartz untuk menandingi Seiko keluaran Jepun. Mereka bernasib kerana cepat sedar dan berubah untuk kekal dalam persaingan sehingga sekarang.

2. Kuda-kuda Vs Berdiri Lurus.
Kuda-kuda dalam ilmu beladiri dianggap satu paradigma. Mengikut budaya dan persepsi masyarakat, bukan ilmu beladiri jika tanpa kuda-kuda.

Paradigma ini kemudiannya dicabar (challenge) oleh satu innovasi terbaru(diwaktu itu) didalam bidang ilmu beladiri, iaitu berdiri lurus. Apabila kaedah berdiri lurus diperkenalkan, ia sangat berlawanan dengan paradima yang sedia ada.

Kaedah berdiri-lurus pada awalnya dipandang lekeh tetapi kemudiannya mendapat sambutan apabila kaedah ini terbukti berkesan dalam 'street fighting' yang memerlukan 'mobility' , 'agility', 'durability', 'speed' dan 'simplicity'. Ia juga terbukti praktikal dari sudut logik dan fakta saintifik.

Oleh itu, pengamal seni beladiri yang berkuda-kuda terpaksa melalui satu anjakan paradigma dari segi persepsi dan mental untuk mempelajari teknik berdiri lurus, yang ternyata mudah untuk dilakukan tanpa banyak latihan. Hanya berdiri normal.

Walaupun begitu, kebiasaannya, pada setiap permulaan paradigma baru, pasti terdapat pandangan serong atau keraguan yang munasabah yang memang tidak 'tercapai dek akal'.

Iyelah mana mungkin 'air mengganti minyak', mana mungkin 'besi boleh terbang', mana boleh 'silat tak pasang kuda-kuda'. Tapi lama kelamaan keraguan ini akan lenyap dengan sendirinya dek kerana arus perubahan yang berlaku dan apabila ia sudah menjadi kebiasaan. Contoh, hari ini tiada siapa yang pelik melihat kapal terbang mendominasi ruang angkasa.

Perlu berani beranjak.
Untuk beranjak ke satu paradigma yang baru seseorang perlu berani mengambil risiko. Tetapi kalau tidak mahu berubah tidak mengapa, selagi dalam 'comfort zone' selagi itu aman. Tapi dok takok lama bermakna tiada kemajuan. Bak kata sebaris pepatah German "You won't discover the new oceans if you afraid to lose sight of the shore.." (xde bunyi German punnn...?)

Dalam konteks Malaya hari ini, sudah nampak keberanian rakyatnya untuk beranjak. Dari segi mentaliti dan strategi , ini bukanlah perkara yang negatif, tetapi ia memang sudah menjadi lumrah manusia yang diberi akal fikiran. Apabila terdesak ia memberontak, apabila tersepit ia memekik.

Walaupun begitu, menolak yang lama mengganti baru bukan bermakna benci, hanya pembaharuan yang dicari. Rentak pemikiran generasi baru ini janganlah dipandang sepi, sepatutnya dihampiri dan diselidiki, tidak perlu dihentam dan dikasari. Mereka juga punya IC, maruah diri dan satu undi.

Lagipun sudah menjadi lumrah alam, yang lamakan pergi, yang baru mengganti. Silih berganti hari demi hari.

Rumusan.

Sebagai rumusan, selagi tidak memesong akidah, anjakan paradigma harus dilakukan demi kebaikan. Ia berkonsepkan 'hijrah' dari satu ruang-lingkup lama ke ruang-lingkup baru, dari melakukan kejahatan kepada kebaikan, dari kesusahan ke kesenangan dan begitulah seterusnya.

Oleh itu meminjam kata-kata Sang Ahlul Politik "Marilah kita melakukan satu anjakan paradigma untuk berdaya saing dalam era globalisasi hari ini, semoga kita mencapai kejayaan yang Cemerlang, Gemilang dan Terbilang...".

Sekian.

Jadi "mari kita minum duluuuuu...."

Jap bang! Kalau macam tu bukan konsep 'Paradigm Shift' ni professor omputih tu amik dari Al-Quran ka?
Haaa...sindiri mau ingat la dek.

2 comments:

  1. berdasarkan posting ini, saya rasa TMP adalah seorang yg aktif dlm seni mempertahankan diri dr utara (cekak, kalimah, kuntau tekpi etc). Ingin saya utarakan disini, adalah betul sejarah seni ini berasal dr istana kedah? jika ia, adalah dr kerajaan Islam Siam (yg berpusat di Ayuthia) atau dr istana Paduka Sultan Ahmad Tajudin II? Sekiranya TMP dpt membuka sejarah silat ini, saya amat alu2 kan kerana bg saya teknik2nya simple dan effektif.

    BalasPadam
  2. hebat tuan. dari posting pun dah tahu silat x silat, aktif x aktif.

    dalam posting ini saya cuma memberi contoh yang sesuai sebab kita sebagai orang Melayu boleh menilai bentuk silat dari yang berkuda-kuda atau yang berdiri lurus. itu sahaja.

    orang diluar sana pun boleh juga membeza antara lurus dan bengkok, jadi pilihan atas fikiran mereka sendirilah.

    berkenaan dengan sejarah silat, ini soalan yang menarik....mungkin saudara boleh membuat kajian dengan membaca website silat2 yang saudara sebutkan itu. masing2 mempunyai sejarah mereka sendiri...

    tetapi jika saudara membaca blog atau mengikuti sejarahnagarakedah dan juga blog TMP ini, saya rasa saudara sudah boleh nampak realitinya itu....

    cuma saya sarankan saudara melihat sejarah Islam dari sudut makro @ global, jangan dibatasi sejarah ciptaan orang putih melaka 1511.

    BalasPadam

Assalamu'alaikum wbt dan salam sejahtera. Selamat membaca.

 

Copyright © T H E . M A L A Y . P R E S S Design by Free CSS Templates | Blogger Theme by BTDesigner | Powered by Blogger