"Education aims at independence of judgement. Propaganda offers ready-made opinion for the unthinking herd."
THEMALAYPRESS - FIKIR DENGAN KRITIS | TERUS MELANGKAH LEBIH JAUH.

Assalamu'alaikum wbt dan salam sejahtera. Terima kasih kepada para pembaca yang masih setia mengikuti blog ini!
~ MOHAB (Blog layout versi 1 September 2014 - 17.07.2014 - 19 Ramadhan 1435)

Isnin, April 14, 2008

Agenda Melayu, retorik yang memperlekeh minda melayu?

Sejak kebelakangan ada pula suara yang menjeritkan AGENDA MELAYU!! Apa itu agenda melayu? Penulis kurang pasti alasan disebalik mantra yang digembar-gemburkan oleh GABEM ini. (nama yang sudah 'established')

Ingin mendapatkan kembali sokongan orang melayu? Pelik sungguh. Kenapa pula sekarang menagih simpati, pernahkah suara marah orang melayu ini diambil peduli selama ini?

Melayu kini beralih arah...rajuk yang tidak bisa diubati lagi...pasrah atau parah? Bab amuk belum pasti...perangai lama lambang jatidiri kata Oxford Dictionary.

Persoalannya, kenapa kini baru timbul cerita agenda melayu? Setelah 50 tahun Malaya merdeka cerita agenda melayu masih lagi tak sudah? Apa kejadah? Siapa yang paling lama memerintah? Rashuah...?

Dimana agenda melayu semasa Bahasa Inggeris menjadi wadah pengajaran Ilmu Hisab dan Sains? Dimana agenda melayu ketika tulisan Jawi dimansuhkan dari sistem pelajaran?

Dimana agenda melayu ketika akhbar Utusan Melayu dikuburkan? Dimana agenda melayu ketika anak muda lebih mengenal Punk dari Ghazal untuk Rabiah? Dimana pula agenda 'kerohanian' ketika agenda melayu tercanang-canang?

Dimana agenda melayu ketika Singapura dipisahkan?

Orang melayu, jangan terlalu senang menuding salah kepada Pak Lah. Dia hanya mewarisi legasi yang sedia lemah menanti rebah! Hatta sesiapa pun yang berada ditempatnya akan dimakan sumpah, doa rakyat marhaen yang sudah menyampah! Waima penggantinya pun bakal mendapat seranah! Umpama menyendal dahan rekah menanti belah...sia-sia ajelah. Adalah lebih elok jika dinanti tunas baru yang giat cambah, lebih kuat lebih getah!

Walau apa pun tujuannya agenda ini, adakah ia sebenar-benar untuk menolong bangsa melayu? Atau helah parti politik yang berselindung disebalik nama baru? Atau cubaan mendapat sokong, menyubur agenda politik individu tertentu?

Entahlah. Semakin hari semakin 'kalang-pukang' situasi politik orang melayu hari ini. Kuasa 'tidak kekal' yang selama ini diagung-agungkan nampaknya sudah sampai ke alam pencen, mungkin bersara awal umur 55.

Penulis tidak mahu banyak 'politiking', tetapi cukup sensitif dengan penghinaan dan celaan terhadap bangsa melayu, terutama sekali kepada 'mereka-mereka' yang tidak ikhlas memperjuangkan agenda melayu!

Bagi penulis, agenda ini hanya retorik untuk memperlekehkan minda melayu, bukan secara senggol-senggolan...tetapi terang-terangan!

Bak kata seorang rakan penulis, sewaktu sama-sama merakam sejarah PRU12 yang lalu; "selagi sesuatu badan gabungan itu di naungi orang politik, maka jangan harap ada penyatuan dikalangan orang melayu!" Katanya lagi, "cuba lihat pertubuhan bangsa-bangsa asing...1,3,5,8 susunannya".

Akhirul kalam, setiap agenda yang mengkuat sesuatu bangsa pasti mempunyai asas dan intipati yang tersendiri, sejarah telah membuktikan...

Apa asas kekuatan Bangsa Arab menakluk dunia?
Apa asas kekuatan Bangsa Turki menguasai Konstantinapol?
Apa asas kekuatan Bangsa Moor menggengam Andalusia?
Apa asas kekuatan Bangsa Kurdish merampas Baitulmaqdis?
Apa asas kekuatan Bangsa Melayu membina empayar diNusantara?

Apa pula asas agenda melayu naungan GABEM?

Fikirlah sendiri...

0 comments:

Catat Ulasan

Assalamu'alaikum wbt dan salam sejahtera. Selamat membaca.

 

Copyright © T H E . M A L A Y . P R E S S Design by Free CSS Templates | Blogger Theme by BTDesigner | Powered by Blogger