Foto: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hasanal Bolkiah Mu'Izzadin Waddaulah Ibni Al Marhum Sultan Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien
Sultan dan Yang DiPertuan Negara Brunei Darussalam
--------------------------------------------
Sila amati sedutan dari Manuskrip Undang-undang Kedah (Mariyam Salim, 2005, ms: 47-49):
"Inilah keturunan gelar menteri, pegawai, hulubalang adat raja-raja yang sudah dahulu-dahulu diperaturkan; pertama gelar Paduka itu ertinya saudara raja dan gelar Maha itu di dalam kitab Allah taala besar maknanya dan gelar Seri itu ertinya keluarga kepada raja dan gelar Raja itu ertinya sahabat pada raja dan gelar Tun itu ertinya sejamu pada raja dan gelar Sang itu ertinya si anunya aku beri nama; enam jenis inilah keturunan gelar...(ms 47)
..Fasal pada menyatakan faedah raja-raja di dalam negeri. Maka tiap-tiap raja itu mengadakan ia pekerjaan dan suruh-suruhan seperti tandil dan penghulu pada khalifah, mata-mata dan bendahara pada majlis balai itu, dan pada majlis istana Raja Iskandar Zulkarnain datang kepada Paduka Seri Sultan yang diatas kerajaan sekarang maka adalah ia iaitu ( ) akan martabat raja pada hal perintahkan segala adat tuannya atas segala menteri itu. Maka dihimpunkan hukum itu diatas sembilan hukum.
...Demikian lagi memakai hulu keris emas seperti hardis dan barang sebungkal, itu pun tiada boleh dipakai orang lain melainkan dengan nama kurnia anugerah itu maka dia dapat. Jikalau orang memakai dia, maka hukumnya di rampas. Adapun memberi anak cucunya hulu keris emas itu melainkan bendahara juga, maka tiadalah orang lain dapat memakai dia" (ms 49)
------------------------------------------------------------
Nota Penulis.
Sewaktu berkunjung ke pameran buku di PWTC lama dahulu, penulis berkesempatan singgah di booth Negara Brunei Darulsalam. Kerana kurangnya orang yang singgah bertanya, maka dapatlahlah penulis berbual, bersembang panjang dengan Abang Pengiran disitu (lupa nama) tanpa gangguan. Sempatlah juga Abang Pengiran menjemput penulis ke Negara Brunei dengan memberikan no telefon dan alamat rumahnya. Kebetulan penulis pula masih bujang..:-) Mana tahu dapat jadi menantu Pengiran...Tapi tak pernah sampai pun, alamat pun dah hilang...(padahal baru je kenal tu)
Baik, apa yang menarik perhatian penulis ketika itu bukanlah hendak mencari bakal pak mertua, tetapi mencari asal usul sejarah bangsa. Mungkin ada cerita dari Brunei yang kita terlepas pandang yang boleh dijadikan pedoman. Kecik jangan disangka anak...
Semasa membelek2 segala buku, material, dan write up mengenai Negara Brunei, penulis terpandang pada gelaran yang diguna pakai oleh Sultan Brunei, baginda menggunakan gelaran Paduka Seri Baginda Sultan. Ia berbeza dengan gelaran yang diguna pakai oleh raja-raja di Malaysia iaitu Seri Paduka Baginda Sultan.
Penulis tertanya-tanya, kenapa Sultan Brunei menggunapakai gelaran Paduka Seri dan tidak Seri Paduka. Mesti ada sebab musababnya. Bagi penulis, Negara Brunei ini bijak, merdeka mereka bukan merdeka 'Pak Kadok' seperti kita, mesti ada rahsia disebalik kecerdikan Sultannya. Sabar...
Sehinggalah satu hari, dengan petunjuk Allah S.W.T melalui seorang Pak Cik (abang Nai lah jugak ni), maka terjumpalah penulis dengan blog Sejarah Nagara Kedah. Dalam situ ada sekumpulan Anai-anai yang rajin menulis tapi bergigi amat tajam.
Dengan bantuan merekalah (anai-anai) penulis mendapat tahu tentang satu sumber rujukan yang asli iaitu Manuskrip Undang-undang Kedah. Tidak menunggu panjang, penulis dapatkan senaskah. (Nah, bahasa Melayu baku rupanya...bukan loghat Kedah dan bukan Acheh walaupun iannya mula tulis di Acheh untuk kegunaan Negara Kedah pada 222 Hijrah lagi).
Pelik atau tidak, untuk menjawab persoalan 'gelaran tertinggi' Sultan Negara Brunei, penulis terpaksa menggunakan Undang-undang Kedah untuk mendapat jawapannya. Bagi penulis ini menunjukkan bahawa dari segi sejarahnya memang ada kaitan yang rapat diantara Brunei dan Kedah. Juga tidak secara langsung menunjukkan betapa besarnya pengaruh dan jajahan benua Siam Islam Kedah dirantau ASEAN ini sebenarnya.
Maka, apa yang dapat penulis putuskan disini (untuk diri penulis sendiri) dengan berpandukan Manuskrip Undang-undang Kedah sebagai bukti, bahawa Paduka Seri Baginda Sultan itu adalah sebenar sebutan gelarannya, kerana gelaran itu termaktub dan tertulis sebagai protokol dan aturan yang dipakai dalam majlis Raja Iskandar Zulkarnain turun-temurun sehinggalah ke zaman berikutnya.
Secara logiknya, ini membuktikan yang manuskrip Undang-undang Kedah itu tidak tipu seperti tipunya Hikayat Hang Tuah dan buku-buku sejarah dari karangan Inggeris yang lain.
Jadi, bagaimana pula dengan gelaran Seri Paduka Baginda Sultan? Entahlah, pembaca dapatkan senaskah UUK bagi jawapannya.
Oleh itu, bersyukurlah, kerana adanya DYMM Paduka Seri Sultan dan Yang DiPertuan Negara Brunei Darussalam yang TETAP mengamalkan pemerintahan NEGARA MELAYU ISLAM BERAJA dan dibantu pula oleh Manuskrip UUK dan rakan-rakan penyelidik kita dari SNK, maka dapat kita berpaut, mendapat panduan mencari bukti sebenar sejarah Bangsa Melayu yang telah digelapkan.
Sesungguhnya, gelaran Paduka Seri Sultan itu memang membantu untuk mengesahkan banyak perkara. Semoga Allah S.W.T memelihara Paduka Seri Tuanku, rakyat jelata dan kerajaan Tuanku dari segala fitnah dan musuh Islam.
-Daulat Tuanku-
Sekian.
Semoga cepat bercambah dan mendapat manafaat.
The Malay Press.
Kuala Lumpur, Malaya.
*sila ke blog Sejarah Nagara Kedah untuk dapatkan punca cerita dan seterusnya memahami keseluruhan cerita Empayar Islam Benua Siam Kedah yang diasaskan oleh orang Kedah amnya dan berkait dengan orang Siam-Melayu khasnya.
------------------------------------------------------------
Sebagai panduan akademik. Berikut adalah gelaran Kerabat DiRaja negeri2 di Malaysia, petikan daripada buku Protokol Malaysia (Datuk Abdullah Ali, 2006m, ms 129-172):
- Raja Johor- 'Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultan Yang DiPertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Takzim'
- Sultan Kedah- 'Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah'. Kerabat DiRaja Kedah merupakan kerabat diraja tertua dinegara ini (Datuk Abdullah Ali, 2006, 134).
- Sultan Kelantan-'Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan'. Datuk Abdullah Ali seterusnya mengatakan Sultan Kelantan 'Moden' dimulakan oleh Long Yunus (ms 139). Bukankah sepatutnya Long Senik anak angkat Sultan Muhammad 1 @ Nik Muhammadiah pada tahun 1910 dilantik Thai dan British menjadi sultan Kelantan?
- Raja Negeri Sembilan-'Paduka Seri Tuanku Yang DiPertuan Besar'. Mengikut wiki: Malay Titles accessed 24.10.2008, gelaran Paduka Seri diguna diantara 1993-2004 sebelum digugurkan. Sekarang hanya gelaran Tuanku digunakan.
- Sultan Pahang - 'Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang'
- Raja Perak - 'Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan'
- Raja Perlis -'Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis'
- Sultan Selangor - 'Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor'
- Raja Terengganu - 'Duli Yang Maha Mulia Sultan'
Rujukan:
Datuk Abdullah Ali, 2006, Protokol Malaysia, Bentuk Panggilan Yang Tepat, Marshall Cavendish, KL
Jabatan Penerangan Negara Brunei, 1984, Kemerdekaan - Latar Belakang Jangkaan dan Harapan, Percetakan dan Perdagangan Borneo, Brunei Darussalam
Mariyam Salim, 2005, Undang-undang Kedah, DBP