"Education aims at independence of judgement. Propaganda offers ready-made opinion for the unthinking herd."
THEMALAYPRESS - FIKIR DENGAN KRITIS | TERUS MELANGKAH LEBIH JAUH.

Assalamu'alaikum wbt dan salam sejahtera. Terima kasih kepada para pembaca yang masih setia mengikuti blog ini!
~ MOHAB (Blog layout versi 1 September 2014 - 17.07.2014 - 19 Ramadhan 1435)

Sabtu, Disember 03, 2011

Kampung Baru : MARKAS KELOMPOK MELAYU

Oleh Rohana Mustaffa

Pembangunan di Kampung Baru, warisan Melayu di tengah-tengah ibu kota metropolitan Kuala Lumpur bergerak perlahan sejak dibuka pada 1899, disebabkan pelbagai faktor, antaranya kerenah birokrasi usang dan sikap penduduk. Bagaimanapun, harapan baru muncul dengan cadangan transformasi kampung ini yang menarik perhatian Bernama untuk menyiarkan siri rencana.

Ini ialah bahagian pertama daripada enam bahagian.

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Jam besar di perkarangan Masjid Jamek Kampung Baru menunjukkan waktu 4.55 petang.

Baru sebentar muezin melaungkan azan masuk waktunya solat Asar dan berpusu-pusu umat Islam di sekitar Jalan Raja Alang dan Jalan Raja Abdullah ini meninggalkan sementara pekerjaan mereka untuk menunaikan ibadat fardu.

Ini ialah rutin harian para peniaga dan pekerja pejabat serta orang ramai di sekitar Kampung Baru Kuala Lumpur dan kesempatan untuk solat berjemaah seperti tidak mahu mereka lepaskan setiap hari. Laungan azan memuji kebesaran Allah swt bergema di seluruh kampung yang mencetuskan tindak balas pantas para peniaga terutamanya pada deretan kedai di hadapan masjid untuk serta merta menutup premis perniagaan dan menyahut seruan mengerjakan solat. Dari muka pintu masjid tua ini kelihatan Menara Kembar Petronas di sebelah barat manakala di sebelah timur pula kelihatan Menara KL dan beberapa pencakar langit seperti Menara Bank SME, Menara Universiti Kuala Lumpur, antaranya tiga hotel mewah dan beberapa lagi struktur yang seakan-akan membentuk suatu kepungan mengeliling Kampung Baru, satu-satunya entiti dan warisan Melayu di tengah-tengah ibu kota metropolitan ini.  Solat berjemaah berikutnya ialah pada waktu Maghrib dan masa selama lebih dua jam di antaranya membenarkan umat Islam kembali kepada pekerjaan dan perniagaan mereka. Ada yang pulang ke rumah yang berdekatan untuk berehat. Pendek kata mereka banyak masa untuk melakukan pelbagai perkara.

DUA DARJAT
Bagaimanapun, masa juga seakan-akan bergerak perlahan, kadang kala seperti terlalu perlahan di Kampung Baru, sekiranya dibandingkan kerancakan pembangunan di kawasan ini dengan jirannya di sebalik sempadan bersama, terutama Sungai Kelang yang menjadi penanda aras.

Kampung Baru terletak di bahagian utara pusat bandar raya yang disempadani Jalan Raja Muda Abdul Aziz di utara, Jalan Tun Razak di timur, Jalan Dang Wangi, Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh) dan Sungai Kelang di selatan, dan Jalan Tuanku Abdul Rahman di sebelah barat.
Sebagai contoh, menara kembar yang paling tinggi di dunia hanyalah satu kilometer dari sini sedangkan masjid, deretan kedai, kelompok rumah dan pelbagai lagi tidak kelihatan berubah seperti mana Kampung Baru mula dibuka pada tahun 1899 dan digazetkan setahun kemudian. Tidak keterlaluan sekiranya dikatakan seakan-akan wujud dua darjat antara Kampung Baru dan kawasan di sekelilingnya.

Ironinya menara itu berdiri megah bersebelahan Kampung Baru dan seseorang hanya perlu menaiki pelbagai bangunan pencakar langit di sekeliling kampung ini untuk meninjau keadaan warisan Melayu ini dan betapa ia juga sewajarnya sudah lama dimajukan seiring dengan kemajuan fizikal di sekitarnya.

TUJUH KAMPUNG UTAMA MEMBENTUK KAMPUNG BARU
Kampung Baru yang seluas 90.35 hektar (225.89 ekar) terdiri daripada tujuh buah kampung -- Kampung Hujung Pasir, Kampung Pindah, Kampung Periuk, Kampung Paya, Kampung Masjid, Kampung Atas A dan Kampung Atas B.

Saiz perkampungan membesar selepas beberapa kampung kecil turut dirangkumkan ke dalam Kampung Baru seperti Kampung Manggis dan Kampung Sungai Baru dan kemudiannya disertai perkampungan yang ditakrifkan setinggan sebelum ini, iaitu Kampung Limau, Kampung Chendana dan Kampung Paya Baru. Terdapat tiga kategori tanah milik Melayu wujud di Kampung Baru iaitu Tanah Simpanan Melayu, Tanah Simpanan Pertanian Melayu dan Tanah Melayu Diberi Milik. Dahulunya pernah terdengar jenaka bahawa yang berubah di Kampung Baru hanyalah pada nama-nama jalannya sedangkan kampung ini masih lagi seadanya.

Apa tidaknya, Hale Road yang dinamakan sempena seorang pentadbir British di zaman penjajah kini bernama Jalan Raja Abdullah manakala Jalan Raja Muda Abdul Aziz yang merentangi Kampung Baru dahulunya ialah Princess Road dan Jalan Haji Yahya Sheikh Ahmad pernah bergelar Jalan Watson. Begitu juga dengan Jalan Raja Alang di mana bermulanya Bazar Ramadan Kuala Lumpur sebelum ini dikenali sebagai Perkins Road.

Sementara itu Jalan Dewan Sultan Sulaiman pula yang wujud satu-satunya kelab Orang Melayu di dada ibu kota ini pernah dikenali sebagai Stoney Road. Nama-nama keluarga Diraja Melayu Selangor dan tokoh Melayu yang pernah tinggal dan menyumbang kepada kemajuan penduduk Kampung Baru diabadikan dalam penjenamaan semula jalan-jalan di Kampung Baru yang kini berusia 110 tahun.

Justeru, tiada lagi nama berbau Eropah di jalan atau bangunan di sekitar Kampung Baru, nama Vision City yang pernah dicadangkan berdekatan dengan kelab itu kini dikenali sebagai Bandar Wawasan.

Entiti tunggal orang Melayu ini juga menyaksikan pelbagai dimensi sejarah - Kongres Melayu Pertama pada 1 hingga 4 Mac 1946 di Kelab Sultan Sulaiman yang mencetuskan gerakan menuntut Kemerderkaan 1957, tempat bersemaraknya Peristiwa 13 Mei 1969, pernah wujudnya Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor (di Jalan Raja Muda Abdul Aziz), kemuncak Perhimpunan Melayu di Stadium TPCA (kini dikenali sebagai Stadium Jalan Raja Muda) yang disusuli dengan Operasi Lalang II 1987 dan tempat perhimpunan mingguan gerakan Reformasi 1998.

UMNO DILAHIRKAN DI KAMPUNG BARU
Menurut mantan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo, Umno dilahirkan di Kampung Baru, lebih tepat lagi di Kelab Sultan Sulaiman, dan pendapat beliau disokong Ketua Bahagian Umno Titiwangsa Datuk Seri Dr Suleiman Mohamed yang menambah bahawa "saya menyifatkannya sebagai Umno hamil tua di Kampung Baru dan dilahirkan di Istana Besar Johor Baharu". 

Pendek kata, semuanya ada di Kampung Baru -- Pasar Minggu Kampung Baru yang popular sebagai pusat menjamu selera, Masjid Jamek yang sinonim dengan bubur lambuk percuma sepanjang Ramadan dan yang memperkenal Solat Tarawikh dipimpin oleh Hafiz Arab Saudi hinggalah kepada Banjir Kilat besar pada tahun 2001 akibat pembangunan di sekelilingnya. Sepuluh tahun selepas keberantakan gerakan Reformasi yang tercetus ekoran pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno, beliau sekali lagi bertandang ke Kampung Baru khususnya ke Kelab Sultan Sulaiman bersama-sama penyokongnya untuk menghadiri Perhimpunan Black 14 pada 14 April 2008.  Di sebalik semua spektra sejarah ini, entiti Kampung Baru Kuala Lumpur sebenarnya sentiasa dipelihara dan dipertahan sebagai Warisan Melayu, lebih-lebih lagi ia masih wujud sebagai yang tunggal di ibu kota.

Mengikut sejarah, sebuah lembaga pentadbir khusus untuk Kampung Baru ditubuhkan serentak dengan pembukaannya sebagai Malay Agriculture Settlement (Petempatan/Tanah Pertanian Melayu) dan bertanggungjawab kepada Residen British bagi menguruskan hal ehwal pentadbiran kampung yang ketika itu diukur seluas 89.63 hektar.

MALAY AGRICULTURE SETTLEMENT (MAS)
Antara tugas Lembaga Pentadbir Kampung Baru itu ialah memberi kebenaran kepada sesiapa sahaja orang Melayu yang memohon tinggal di kampung ini dan luas kawasan yang diperuntuk tidak melebihi setengah ekar (0.2 hektar) seorang. Dua persatuan -- Persatuan Pembangunan Kampung Baru (PPKB) dan Persatuan Kebajikan Anak-anak Melayu Kampung Baru (Pakam) pada 1994 dalam memorandum mereka mengenai pembangunan Kampung Baru menyatakan bahawa kampung ini terbentuk apabila sekumpulan orang Melayu yang tinggal di kawasan Sungai Gombak dan Sungai Kelang terpaksa berpindah untuk memberi jalan kepada pembangunan bandar Kuala Lumpur.

Sehubungan itu Sultan Selangor Sultan Sulaiman atau Sultan Alauddin Sulaiman Syah bin Raja Muda Musa memperuntuk sebuah kawasan di tepi Sungai Kelang untuk orang Melayu berpindah dan MAS diwartakan pada 1 Jan 1900. Disebabkan semua urusan pentadbiran tanah adalah hak lembaga tadbir MAS, ia tidak dapat memenuhi harapan tuan tanah yang berhasrat membangunkan kawasan ini kerana mereka tidak memegang apa-apa surat hak milik yang boleh diurusniagakan hinggalah pada tahun 1960-an.

Menteri Besar Selangor Datuk Harun Idris yang ketika itu menjadi pengerusinya, mengusahakan geran hak milik tanah bagi penduduk kampung ini. Ketika itu juga kediaman rasmi Menteri Besar Selangor terletak di Jalan Raja Muda Abdul Aziz. Cakap-cakap mengenai Kampung Baru akan dibangunkan timbul selepas itu dan sentiasa terdengar. Sejak 1975, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pula dikatakan cenderung menjalankan usaha ke arah itu.

USAHA TERKINI MEMBANGUNKAN KAMPUNG BARU
Usaha pertama untuk membangunkan Kampung Baru bermula pada 1975 dengan menyatukan pelbagai lot kecil tetapi langkah itu tidak mendapat sambutan dan 10 tahun kemudian DBKL mengemukakan pelan konsep pembangunan dengan tujuan mengelakkan pemilik individu membangunkan tanah mereka secara persendirian. Setelah lama menyepi, khabar angin mengenai pembangunan Kampung Baru hangat diperkata semula pada 1991 susulan lawatan Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri (Tun) Dr Mahathir Mohamad bersama rombongannya, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Bandar Kuala Lumpur, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan.

Datuk Dr Suleiman Mohamed, ketika itu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang sebelum itu dilantik mengetuai jawatankuasa pembangunan semula Kampung Baru, turut mengiringi beliau.

Beberapa siri pertemuan dengan penduduk seramai 1,923 diadakan, tetapi usaha tiga tahun Dr Suleiman gagal, berpunca daripada pelbagai masalah tuntutan pembangunan, hak milik beramai, kos dan pentadbiran tanah dan sebagainya.

Ekoran itu pelbagai aktiviti cuba diusahakan sama ada secara bersendirian atau berkumpulan untuk membangunkan Kampung Baru dan dilaporkan DBKL pernah diarah mengambil balik tanah seluas 16.36 hektar (40.94 ekar) di sepanjang Jalan Raja Abdullah dan cadangan ini menghadapi jalan buntu akibat masalah kos pengambilan balik tanah.

MAS Melayu Berhad, konsortium 11 syarikat Melayu, juga pernah ditubuhkan untuk membangunkan Kampung Baru selepas Tun Dr Mahathir membubarkan jawatankuasa pimpinan Dr Suleiman, tetapi usaha mereka turut terhenti separuh jalan. Akibatnya ramai penduduk dan pemilik tanah keliru mengenai apa yang berlaku. Pelan Tempatan Kampung Baru yang diarah dikeluarkan DBKL pada 1992 sehingga kini tidak diketahui umum bentuknya sehinggalah Draf Kuala Lumpur 2020 Pelan Bandar Raya yang melibatkan Kampung Baru di dalam Jilid 4, dibentangkan tahun lepas.

PENDUDUK TUBUH PERSATUAN
PPKB dan Pakam dalam memorandum mereka pada 1994 itu turut menyenaraikan beberapa masalah yang timbul dalam perancangan membangunkan Kampung Baru.

Ketika itu wujud kumpulan pemilik tanah yang mendesak kerajaan membayar pampasan yang terlalu tinggi dan tidak munasabah daripada segi harga pasaran dan penyewaan, ada pula pihak yang menangguk di air keruh dengan mempengaruhi tuan tanah supaya menyerahkan kuasa menguruskan tanah sehingga berlaku penipuan. Tidak kurang juga yang mencari populariti memperjuang isu Kampung Baru sehingga menampakkan suara pemilik tanah dan tujuan kerajaan tidak sekata.

PPKB didaftarkan pada 1994 dan membuka keanggotaannya kepada orang Melayu berumur 18 tahun ke atas yang mempunyai harta atau kepentingan hartanah di Kampung Baru atau perniagaan lebih dari 10 tahun di Kampung Baru, suami, isteri atau anak, cucu kepada orang yang berdaftar sebagai tuan tanah di Kampung Baru yang beragama Islam dan berumur lebih daripada 18 tahun.  Pakam pula dianggotai anak-anak Melayu Kampung Baru yang berumur 18 tahun ke atas, bertujuan mengumpulkan semua anak Kampung Baru di Kuala Lumpur dan Selangor, bagi mengeratkan silaturrahim, memupuk semangat cintakan kampung halaman, membantu menggalakkan dan memajukan bidang pendidikan, kebudayaan dan kebajikan anggota, menggalakkan perniagaan dalam kalangan anggota dan bekerjasama dengan mana-mana badan kebajikan negeri dan persekutuan. Menurut PPKB dan Pakam, selepas mengadakan beberapa mesyuarat dengan anggota mereka ketika itu, rata-rata penduduk Kampung Baru yang mempunyai kepentingan hartanah dan perniagaan di sini menyokong rancangan untuk membangunkan Kampung Baru dengan syarat pihak berkenaan mengambil kira masalah yang dihadapi mereka dan memenuhi harapan mereka yang munasabah.

KEKALKAN KAMPUNG BARU SEBAGAI MARKAS KELOMPOK MELAYU
Di dalam memorandum mereka, kedua-dua persatuan itu menyatakan harapan supaya di sebalik pembangunan yang dirancang, Kampung Baru hendaklah dikekalkan sebagai markas kelompok Melayu di tengah-tengah metropolitan Kuala Lumpur dan tanahnya seberapa yang boleh terus dipertahan sebagai milik orang Melayu selama-lamanya. Mereka tidak mahu berulangnya peristiwa perpindahan orang Melayu dari Sungai Gombak dan Sungai Kelang ke Kampung Baru atas alasan pembangunan, mengakibatkan hampir pupus orang Melayu yang bermastautin di bandar raya Kuala Lumpur.

Jika tidak, kata mereka, akan terus kekal dua darjat antara Kampung Baru dan kawasan di sekitarnya.

 -- BERNAMA


Foto Arkib Kelab Sultan Sulaiman Julai 2008. 
Sekitar majlis perasmian pembinaan semula Replika Banggunan Asal Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru, Kuala Lumpur. Malaysia.


DYMM Sultan Selangor berkenan menandatangani plak bagi merasmikan pembinaan semula Replika Banggunan Asal Kelab Sultan Sulaiman Kg. Baru, Kuala Lumpur

Tuanku Sultan Selangor menerima potret Almarhum Sultan Alaidin Sulaiman Shah, yang memerintah dari 1898 hingga 1938

Tuanku melawat pameran

YB Menteri KEKKWA (ketika itu) sedang berucap.

Veteran Kampung Baru

Plak perasmian pembinaan semula Replika Banggunan Asal Kelab Sultan Sulaiman Kg. Baru, Kuala Lumpur yang telah ditandatangani DYMM Baginda Sultan Selangor

0 comments:

Catat Ulasan

Assalamu'alaikum wbt dan salam sejahtera. Selamat membaca.

 

Copyright © T H E . M A L A Y . P R E S S Design by Free CSS Templates | Blogger Theme by BTDesigner | Powered by Blogger