"Education aims at independence of judgement. Propaganda offers ready-made opinion for the unthinking herd."
THEMALAYPRESS - FIKIR DENGAN KRITIS | TERUS MELANGKAH LEBIH JAUH.

Assalamu'alaikum wbt dan salam sejahtera. Terima kasih kepada para pembaca yang masih setia mengikuti blog ini!
~ MOHAB (Blog layout versi 1 September 2014 - 17.07.2014 - 19 Ramadhan 1435)

Rabu, Disember 11, 2013

Benteng Terakhir Umat Melayu Menghadapi Bangsa Yang Menipu Dengan Mata.

Seboleh-bolehnya, janganlah kita jadikan Ahli Sunnah Wal Jamaah itu sebagai label atau brand. Puak-puak yang keterlaluan liar akalnya akan sentiasa mencari lubang untuk meruntuhkan pegangan dan iktikad yang sebenar dalam Islam. 

Hal pegangan ini telah disebut oleh Rasulullah s.a.w dalam hadisnya yang berbunyi:
Anas bin Malik meriwayatkan bahwa Rasulullah Saw bersabda: “Orang-orang Bani Israil akan terpecah menjadi 71 golongan dan umatku akan terpecah kedalam 73 golongan, seluruhnya akan masuk neraka, kecuali satu, yaitu Al-Jamaa’ah.”HR. Sunan Ibnu Majah.

“Bahwasannya bani Israel telah berfirqah sebanyak 72 firqah dan akan berfirqah umatku sebanyak 73 firqah, semuanya akan masuk Neraka kecuali satu.” Sahabat-sahabat yang mendengar ucapan ini bertanya: “Siapakah yang satu itu Ya Rasulullah?” Nabi menjawab: ” Yang satu itu ialah orang yang berpegang sebagai peganganku dan pegangan sahabat-sahabatku.” HR Imam Tirmizi.


Oleh kerana itu, sebagai umat Melayu, sekarang adalah masanya untuk pergi mencari pegangan yang telah disebutkan oleh Rasulullah s.a.w. 

Para ulama Melayu zaman dahulu telah mempersiapkan benteng yang kukuh untuk menghadapi dugaan yang telah pun mereka nampak akan berlaku pada hari ini. 

Dan usaha menyelewengkan umat Melayu itu telah pun ada sejak dahulunya dan tidak pernah kunjung padam usaha itu sehinggalah ke hari ini. Penjajah British dan Komunis pun telah lama tahu tentang hal ini.

Benteng tauhid yang telah dipasak dizaman Zulkarnain telah pun diruntuhkan, hancur luluh itulah janjiNya. Benar sekali bangsa Arablah yang paling dahsyat menghadapinya, buktinya kekacauan yang tidak kunjung padam sehingga ke hari ini. 

"Ini ialah suatu rahmat dari Tuhanku; dalam pada itu, apabila sampai janji Tuhanku, Dia akan menjadikan tembok itu hancur lebur dan adalah janji Tuhanku itu benar." (Al Kahfi)

Sahih Bukhari,  ketika Zainab binti Jahsy akhirnya bertanya kepada Nabi Muhammad. “Ya Rasulullah, apakah kita (bangsa Arab) akan dihancurkan walaupun masih ada orang beriman di antara kita?” Nabi menjawab, “Ya, ketika kemaksiatan merajalela." (ini hadis 1435 tahun yang lalu, bukan semalam)

Maka tinggal lagi secubit benteng umat Melayu yang ada ini yang cuba diruntuhkan.

Bangsa penipu Ya' dan Ma' itu hidup bercampur gaul dengan manusia, tidak akan berputus asa kerana sentiasa ia melakukan kekacauan dimuka bumi ini - itulah perangainya sejak zaman Zulkarnain lagi.

Maka jangan lalai dan berlengah lagi.

Perkukuhkan kembali benteng yang sebenar dalam iktikadmu.

Sekian.

end.

koleksi tulisan ALLAHYARHAM WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH (Al Fatihah buatnya)

PERBICARAAN mengenai isu ini pernah dibentangkan penulis dalam satu seminar, yang mana penulis petik sedikit kalimat-kalimat dalam undangan tersebut yang ternyata sungguh mencabar dan prihatin, di antaranya, "Seminar ini dianjurkan antara lain untuk menangani gejala kekeliruan umat Islam yang terjadi akibat penyusupan masuk pelbagai fahaman yang menyeleweng daripada pegangan yang berasas kepada al-Quran, As-Sunnah, Ijmak ulama yang muktabar dan Al-Qiyas as-shahih.

Kekeliruan ini ditambah lagi dengan kecetekan ilmu setengah umat Islam sendiri yang akhirnya menjadi kehairanan tidak tahu untuk membezakan antara kebenaran dan kebatilan dan akhirnya terpengaruh dengan slogan-slogan indah yang dibawa oleh pelbagai puak yang berkepentingan."

Mengenai istilah al-Quran, as-sunnah, Ijmak ulama yang muktabar dan al-Qiyas as-Shahih yang tersebut dalam kalimat secara umum di dunia Melayu, termasuk di Malaysia, pernah penulis bicarakan dalam ruangan ini dan juga diungkapkan dalam satu kertas kerja yang panjang yang dibentang dalam "SEMINAR BAHAN RUJUKAN ISLAM NUSANTARA" yang dibentang di Brunei Darussalam.

Petikan ringkas dapat penulis rakamkan di sini, "Ulama silam Nusantara, termasuk ulama silam Patani, akur bahawa rujukan dalam Islam yang paling utama ialah al-Quran dan hadis. Namun mereka tetap memerlukan rujukan yang banyak dengan berbagai-bagai disiplin ilmu yang dikarang oleh para ulama Islam.

Oleh itu, mereka mengukuhkan istilah pegangan iaitu al-Quran, hadis, ijmak ulama dan qiyas as-Shahih. Mereka menolak untuk menentukan segala persoalan Islam berdasarkan pemikiran otak semata-mata."

Sebenarnya ulama-ulama besar kita di dunia Melayu sejak lama sudah mempersiapkan benteng yang kukuh, membendung umat Islam kawasan ini daripada pelbagai penyelewengan.

Ia dapat dibuktikan dengan karya-karya mereka dalam pelbagai keilmuan. Ulama-ulama dunia Melayu yang dianggap menguasai banyak bidang ilmu di antaranya orang Banjar meriwayatkan bahawa Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari (1122 H/1710 M - 1227 H/1812 M) menguasai sekurang-kurangnya 35 bidang ilmu.

Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani (1272 H/1856 M - 1325 H/1908 M) pula dirakamkan dalam majalah Pengasuh sanggup mengarang dan mengajar sekurang-kurangnya 47 bidang ilmu. Dalam majalah Pengasuh terbitan yang sama juga disebutkan bahawa Muhammad Yusuf bin Ahmad (Tok Kenali, 1287 H/1871 M -1352 H/1933 M) memperoleh 24 bidang ilmu daripada gurunya, Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.

Sungguhpun demikian yang sangat-sangat diberatkan atau ditekankan sebagai fardu ain adalah tiga bidang ilmu, ialah akidah, fiqh dan tasawuf. Ketiga-tiga jenis ilmu di atas inilah dianggap benteng pertahanan golongan Ahlus Sunnah wal Jamaah di dunia Melayu.

Walau bagaimanapun, yang benar-benar bernama Ahlus Sunnah wal Jamaah itu menurut kebanyakan ulama ialah pegangan pada akidah, yang dalam hal ini terdapat dua tokoh imam besar. Kedua-dua imam tersebut ialah Imam Abul Hasan al-Asy'ari (260 H/873 M - 324 H/935 M) dan Imam Abu Mansur al-Maturidi (wafat 333 H/944 M).

Imam dalam fiqh pula sekurang-kurangnya banyak dibicaranya empat orang ialah: Imam Hanafi (80 H/699 M - 150 H/767 M), Imam Maliki (93 H - 179 H), Imam Syafi'ie (150 H/768 M - 204 H/820 M) dan Imam Hanbali (164 H - 241 H). Imam dalam tasawuf pula ialah Sheikh Junaid al-Baghdadi (wafat 297 H/910 M).

Karya-karya ulama Melayu sebagai Ahli Sunnah wal Jamaah
Ilmu akidah di kalangan ulama dunia Melayu, bahkan secara keseluruhan ulama Ahli Sunnah wal Jamaah di seluruh dunia Islam dinamakan juga dengan ilmu tauhid, ilmu kalam, ilmu ushuliddin, dan lain-lain. Sheikh Ahmad al-Fathani dalam Jumanatut Tauhid menyebut bahawa ilmu tauhid itu seumpama matahari, ilmu-ilmu selainnya ibarat seperti bintang-bintang saja.

Di dunia Melayu, termasuk Malaysia, disiplin ilmu tauhid adalah termasuk ilmu yang paling diutamakan. Ini dapat dibuktikan dengan sangat banyak kitab ataupun risalah mengenai ilmu itu ditulis oleh ulama-ulama kita.
Untuk menyenaraikan keseluruhan ulama-ulama yang mengarang ilmu ini adalah terlalu banyak.

Karya ilmu tauhid/ akidah Ahli Sunnah wal Jamaah yang lengkap nama pengarang serta dengan tahunnya yang paling awal dihasilkan adalah ulama yang berasal dari Kedah. Beliau ialah Ahmad bin Aminuddin Qadhi (Kedah) dengan karya Ilmu Tauhid yang ditulis tahun 1032 H/1622 M.

Kitab ilmu tauhid yang paling tebal pula ialah Warduz Zawahir (1245 H/1829 M) susunan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Diikuti kitab berjudul Aqidatun Najin fi Ushulid Din wa Tashauwufis Shaaffin(1308 H/1891 M) karya Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani dan Fat-hul 'Alim (1324 H/1906 M) karya Haji Abdur Rahman Shiddiq bin Muhammad Afif al-Banjari, Mufti Kerajaan Inderagiri.

Karya ilmu tauhid/akidah Ahli Sunnah wal Jamaah yang dikarang ulama dunia Melayu dalam bahasa Arab ialah Jumanatut Tauhid (1293 H/1876 M), Munjiyatul 'Awam li Manhajil Huda minaz Zhalam (1293 H/1876 M) dan Sabilus Salam fi Syarhi Hidayatil 'Awam (1306 H/1888 M) yang ketiga-tiganya karangan Sheikh Ahmad al-Fathani.

Antara kitab lain dalam bahasa Arab juga iaitu Fat-hul Majid fi Syarhid Duraril Farid fi 'Ilmit Tauhid (1294 H/1877 M), Tijanud Darari fi Syarhi Risalatil Bajuri (1297 H/1880 M) dan Zari'atul Yaqin fi Syarhi Ummil Barahin atau Ad-Durratun Nadhra 'alal 'Aqidatish Shughra (1302 H/1885 M), ketiga-tiga karangan Sheikh Muhammad Nawawi bin Umar al-Bantani.

Kitab ilmu tauhid/akidah Ahli Sunnah wal Jamaah yang besar pengaruhnya di dunia Melayu pula ialah: Ad-Durrus Tsamin (1232 H/1816 M) karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Faridatul Faraid (1313 H/1895 M) karya Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, Sirajul Huda (tanpa tarikh) karya Sheikh Muhammad Zainuddin as-Sumbawi dan 'Aqidatun Najin (1308 H/1891 M) karya Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani.

Perhatian raja-raja Melayu
Jauh sebelum kemerdekaan Indonesia (17 Ogos 1945), hampir semua kerajaan dalam jajahan Belanda di dunia Melayu, termasuk di Semenanjung yang dijajah oleh Inggeris berpegang teguh dengan Mazhab Syafie dalam fiqh dan Ahlus Sunnah wal Jama'ah dalam akidah.

Perhatian raja-raja Melayu mengenai perkara yang tersebut sangat jelas, sebagai contoh tokoh Johor, bernama Dato' Abdullah bin Abdur Rahman Muar dalam karya akidahnya berjudul Matnur Risalatit Tauhidiyah pada pendahuluan dicatatkan, "Dan lagi inilah satu daripada beberapa risalah dan kitab-kitab pelajaran yang dibawa balik ke Johor oleh Yang Maha Mulia Al-Marhum Sultan Abu Bakar Johor, iaitu pada masa Al-Marhum itu melawat negeri Mesir di dalam bulan Mac tahun 1893 [Masihi]."

Dimaksudkan ialah sebuah risalah tauhid Ahlus Sunnah wal Jamaah yang berjudul Al-'Uqudud Durriyah karya ulama Mesir bernama Sheikh Hamzah Fathullah, pemeriksa sekolah-sekolah Arab di Mesir. Karya tersebut diterjemahkan oleh Dato' Abdullah bin Abdur Rahman Muar ke dalam bahasa Melayu. Setelah menterjemahkan matan, Dato' Abdullah bin Abdur Rahman Muar menulis pula syarah risalah itu yang diberi judul Syarhur Risalatit Tauhidiyah.

Haji Abdul Mubin bin Muhammad Thaiyib Jabbar Syah al-Jarimi al-Fathani adalah seorang ulama Patani yang menjadi guru Sultan Pahang, dalam karya akidahnya berjudul Najatul Ikhwan fima Yahshulu bihil Islam wal Iman (1337 H/1919 M).

Pada halaman muka dinyatakan, "Diterjemahkan ini kitab dengan titah Yang Maha Mulia al-Mu'tashim Billah as-Sulthan Abdullah al-Muzhaffar Syah ibni al-Marhum as-Sulthan Ahmad al-Mu'azhzham Syah Pahang ...".

Daripada kedua-dua maklumat di atas dapatlah diambil kesimpulan bahawa raja-raja Melayu silam mengambil perhatian berat tentang membentengi negeri-negeri di bawah naungan baginda dengan pegangan yang betul, itulah akidah Ahli Sunnah wal Jamaah.

PETIKAN KANDUNGAN BEBERAPA KITAB ULAMA MELAYU
Terlalu banyak pegangan keislaman yang tepat dan betul telah diamalkan oleh para ulama dunia Melayu dan para ulama seluruh dunia yang pada zaman kita menjadi sebaliknya. Bagi yang betul dikatakan salah dan yang salah dikukuhkan sebagai betul.

Pada zaman ini, kita banyak kali terlihat tulisan atau orang bercakap yang menghina ulama. Di antara tulisan itu seperti dikatakan, "Ulama pembohong" dan lain-lain. Siapakah yang bertanggungjawab menulis demikian, dan ulama yang bagaimanakah yang dimaksudkan sebagai pembohong itu, adalah tidak jelas.

Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani di dalam karyanya Ad-Durruts Tsamin (1232 H/1816 M) pernah mengungkapkan bahawa manusia ada jenis yang dinamakan hubbul ulama, iaitu "kasih kepada ulama", dan sejenis lagi dinamakan bughdhul ulama, iaitu "benci kepada ulama".

Penulis tidak hairan jika mencaci, menyalahkan dan memperkecil-kecilkan ulama itu dilakukan oleh orang-orang yang jahil, tetapi adalah sangat menghairankan jika perbuatan seperti itu dilakukan golongan terpelajar Islam sendiri.

Dalam beberapa seminar yang pernah penulis ikuti yang bermotifkan untuk mengangkat martabat seseorang ulama silam yang terkenal misalnya, sekian ramai yang memuji ulama, namun segelintir ada pula yang memperkecil-kecilkan dan memandang sinis kepada ulama silam yang sedang difokuskan.

Bahkan ada yang memandang sesat terhadap ulama silam itu. Ada yang berani menyalahkan Imam Abu Hasan al-Asy'ari, Imam Al-Ghazali dan lain-lain, yang telah demikian terkenal dan menjadi ikutan dan rujukan ulama Islam sedunia berzaman-zaman.

Ulama silam dunia Melayu sama juga nasibnya, segelintir golongan terpelajar Islam dengan tulisan tajam dan suara lantang berani menyalahkan ulama-ulama seperti Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari, Sheikh Muhammad Nafis bin Idris bin Husein al-Banjari, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani dan ramai lagi.

Sedangkan mereka itu telah dianggap sebagai ulama yang tsiqah dan turas dunia Melayu oleh ulama rantau ini, sejak antara seratus hingga dua ratus tahun yang lalu.

Bahkan di antara mereka diakui keulamaan dan benar ilmunya oleh ulama-ulama antarabangsa pada zamannya. Umat Islam yang jahil kehilangan pedoman kerana ulama silam yang terkenal dengan kitab-kitab karangannya yang telah diajarkan sekian lama, lalu dipersalahkan oleh tokoh-tokoh Islam masa kini. Tokoh-tokoh Islam masa kini pula sering menyalahkan antara seorang terhadap orang lain yang hidup sezamannya.

Dari hal-hal yang tersebut, kewibawaan ulama dan tokoh Islam zaman kita telah sirna/hilang, akibatnya orang berani menggelar mereka sebagai "Ulama pembohong" seperti yang telah disebutkan di atas.

Isu Jihad
Isu semasa yang terjadi pada zaman kita ini terlalu banyak untuk disentuh. Namun kerana kekurangan ruangan, penulis masuk saja peristiwa terhangat dibicarakan setelah kejadian 11 September 2001, iaitu istilah "JIHAD" yang terjadi pelbagai pentafsiran dan kebersimpangsiuran pendapat antara satu dengan yang lainnya.

Penulis berpendapat bahawa "JIHAD" jika ditinjau dari kitab-kitab fiqh Mazhab Syafie adalah satu istilah yang kadang-kadang digunakan perkataan Kitab al-Jihad, kadang-kadang digunakan perkataan Bab al-Jihad.

Ulama-ulama dunia Melayu menterjemahkan istilah jihad itu dengan "perang sabil", "perang fi sabilillah" dan "perang orang Islam melawan kafir".

Sama ada kita menyetujui atau pun tidak, kerana mempertimbangkan keadaan di pemerintahan mana kita berada atau zaman bila kita hidup, kita mesti mengakui dan berkata benar bahawa dalam fiqh Mazhab Syafie perkataan jihad adalah satu istilah yang ditakrifkan seperti di atas telah ijmak dan muktamad.

Jika kita sebagai seorang ulama, mentakrif pengertian jihad lain dari demikian itu, maka pasti akan dicap dengan perkataan "Ulama pembohong" seperti tersebut di atas oleh orang-orang yang mempelajari fiqh Mazhab Syafie secara teliti, mendalam dan saksama.

Oleh itu kenal pastilah supaya kita tetap amanah dengan ilmu pengetahuan. Katakanlah yang sebenar walau pahit sekali pun.

Mengenai jihad, seperti tersebut di atas, penulis sentuh sehabis-habis ringkas, teliti dan berhati-hati, adalah sebagai catatan penulis mengenai peristiwa besar zaman tersebut (1422 H/ 2001 M).

Namun penulis tiada bermaksud menuding pendapat orang-orang yang tidak menyetujuinya. Selain itu, penulis juga tiada bermaksud mempengaruhi siapapun jua, kerana penulis sedar bahawa kepentingan jasmani dan nafsu peribadi yang cenderung ke arah kebendaan dan seluruh aspek duniawi seseorang adalah berbeza dengan kepentingan rohani yang lebih menekankan seluruh aspek ukhrawi.

Selagi kadar kepentingan jasmani dan nafsu lebih dari kadar kepentingan rohani selagi itulah konsep jihad akan ditolak walaupun telah disepakati oleh para ulama berdasarkan hujah-hujah yang teguh dan kukuh dari al-Quran dan hadis Nabi SAW.

Jika kita benar-benar sebagai seorang Muslim dan Mukmin, kita mesti berpihak dan menerima kebenaran. Pada yang benar itu ialah secara pasti mengikut al-Quran, as-sunah, dan para ulama yang benar, yang beramal soleh. Itulah para ulama yang secara pasti meletakkan kepentingan Islam lebih tinggi dari segala kepentingan lainnya, termasuk kepentingan peribadi sendiri.

Ciri-ciri Muslim dan Mukmin yang benar, seperti tersebut, terdapat pada ulama-ulama silam dunia Melayu. Oleh itu mereka adalah layak kita ikuti jejak perjuangan mereka.

petikan: Kehebatan ulama Melayu Ahli Sunnah Wal Jamaah 
http://alsubki2.blogspot.com/

9 comments:

  1. Bagaimana sekiranya agama yg di bawa oleh nabi bukan agama islam yg ada kini? Buktinya ialah nabi menjunjung titah tuhan dgn melaksanakan perintah al quran manakala islam pula mengagungkan hukum tulisan manusia yg nyata menduakan tuhan. Agama yg di bawa nabi memerintah dan islam hanyalah agama berstatus jabatan je. Tidak hairan ulama silam di cemuh kerana org2 beriman sentiasa di benci oleh org2 kafir. Yg hamba maksudkan ialah golongan yg menjual agama untuk kepentingan diri dan takut menyatakan kebenaran.

    BalasPadam
  2. golongan itu menjual agama itu menjual agama apa pula wahai mahadaya?

    BalasPadam
  3. Di dlm hadis nabi menyatakan bhw di akhir zaman agama nabi2 akan menjadi asing kpd manusia. Mengapa begitu dan org di zaman itu akan menghina org2 terdahulu drpd mereka. Padahal al quran menyuruh manusia mengikuti org2 terdahulu kerana mereka lebih mendpt petunjuk. Di dlm doa kita menyebut kita mengikuti nabi dan sahabat dan tabii dan tabiin. Siapa tabii dan tabiin iaitu mereka yg mencapai taraf kewalian dgn ilmu dan amal mereka. Mereka ini hanya di lantik selepas nabi kita wafat. Persoalannya siapa ulama kini yg bertaraf wali. Ulama kini hanya di lantik dgn ilmu palsu dan agama palsu yg di promosi secara besar2an dan tiada kita lihat kebaikan dan kebenarannya. Tiada perbankan, tiada nabi perempuan (ustazah), tiada politik, tiada hukum syariah di dlm agama tuhan ianya bidaah yg amat besae.

    BalasPadam
  4. Hamba dtgkan hujah ttg kesesatan islam. Ambil contoh ini hukum khalwat yg di laksanakan adalah kejam dan tidak adil. Pertamanya tiada hukum bg khalwat kerana nabi berkhalwat di zamannya. Perkataan ini di seleweng menjadi berdua2an dan adakah hukum bagi khalwat? Tentulah tiada kerana ianya di buat oleh manusia yg ada cuma hukum zina. Di dlm byk kes berlaku aniaya kerana kesalahan zina perlu bukti dan dlm khalwat x perlu.

    BalasPadam
  5. Wahai mahadaya, saya cuba nak memahami maksud posting tuan ni. maka saya pecahkan kepada 2 bahagian:

    A. Hal kewalian.

    1.mencapai taraf kewalian dgn ilmu dan amal mereka
    2.Mereka ini hanya di lantik selepas nabi kita wafat
    3.Persoalannya siapa ulama kini yg bertaraf wali.

    Oleh kerana itu adakah bermaksud tuan ni pengikut wali? dan sudah ada wali yang tuan sedang ikut? maka apakah amal dan ilmu yang ada untuk mencapai tahap wali yang perlu diikut itu? siapakah yang melantik wali-wali tersebut ke taraf wali? tiadakah sahabat yang bertaraf wali dizaman nabi? apa pula peranan wali yang tuan sedang ikut itu? apa pula tugas wali?

    B. hal istilah yang diselewengkan lalu membawa makna yang terpesong dari maksud sebenar.

    4.Pertamanya tiada hukum bg khalwat kerana nabi berkhalwat di zamannya. Perkataan ini di seleweng menjadi berdua2an dan adakah hukum bagi khalwat?
    5.Tentulah tiada kerana ianya di buat oleh manusia yg ada cuma hukum zina. Di dlm byk kes berlaku aniaya kerana kesalahan zina perlu bukti dan dlm khalwat x perlu.

    Adakah maksud tuan perkataan KHALWAT itu jangan digunakan. Maka perlu di tukar kepada perkataan lain yang lebih tepat membawa maksud BERDUA-DUAN lelaki perempuan yang BUKAN MUHRIM dalam keadaan yang menghampiri zina?

    BalasPadam
  6. Boleh jadi ada betulnya apa yang tuan hendak sampaikan mengenai perkataan KHALWAT itu.

    Dahulu pada kad kahwin di tulis YA QADHIAL HAJAT, bagi budak-budak sekolah agama yang belajar bahasa Arab jadi keliru apabila melihat kad kahwin yang sebegitu, kerana QADHIAL HAJAT tu maknanya nak pergi buang air..."nak pi KODOK HAJAT ya UStaz"...sekarang sudah ditukar kepada WALIMATUL URUS.

    Tanda kurang peka dan kurang ilmu lah tu.

    Maka harus ada kebenaran kata tuan itu.

    BalasPadam
  7. Salama,
    Setiap org beriman adalah wali tuhan kerana mereka percaya kpd tuhan dgn hakikat yg sebenar. Sesiapa yg menjadi wali semestinya tidak melanggar mana2 hukum tuhan lebih2 lagi menulis hukum2 dgn tangannya sendiri. Pengertian wali yg lebih tinggi tidak hamba berikan kerana ianya bukan di dlm ilmu Islam. Jika ya tentu tuan hamba tidak tanyakan kpd hamba.

    BalasPadam
  8. Tuan hamba keliru dgn maksud hamba. Hamba nyatakan bhw hukum khalwat tidak wujud di zaman nabi kerana tiada hukum bg org berdua-duan. Hukuman yg ada ialah zina di hukum dgn sebat dan rejam.
    Mengapa hamba kata hukum Islam kejam ialah org berdua-duan tidak semestinya berzina kerana berzina perlu di buktikan dgn 2 org saksi yg melihat perbuatan tersebut. Jadi, tangkapan yg di buat oleh majlis agama tidak sah kerana tiada kesalahan dari sudut agama dan bagaimana hukumnya org yg menuduh zina dgn tanpa datangkan bukti. Hukumnya ialah yg menuduh di hukum dgn hukuman yg setimpal.Hukum khalwat ini juga satu penganiayaan kerana ianya mewujudkan syak samada berlaku zina atau tidak.
    Apapun hukum Islam tiada kena mengena dgn hukum yg di bawa oleh nabi dari tuhan. Maka bukankah fitnah bhw nabi membawa agama Islam padahal hukum Islam tulis sendiri dgn guna nama tuhan?

    BalasPadam
  9. Baiklah, tuan tak menjawab soalan tang wali tu.
    pengertian wali yang lebih tinggi tu tinggi mana pulak?

    soalan seterusnya.

    Setiap org beriman adalah wali tuhan kerana mereka percaya kpd tuhan dgn hakikat yg sebenar.

    1.apakah maksud iman?
    2.apa yang dikatakan percaya kepada tuhan dengan hakikat yang sebenar?
    3. menulis hukum dengan tangan sendiri ini dimaksudkan pada hukum yang mana?
    4. apakah maksud agama dan apakah maksud Islam?

    bab khalwat.
    hukum khalwat tidak wujud di zaman nabi kerana tiada hukum bg org berdua-duan. Hukuman yg ada ialah zina di hukum dgn sebat dan rejam

    baiklah,

    1. apa yang difahami disini adalah Khalwat itu tetap bagi tuan maksudnya berdua-duan? oleh kerana itu difahami maksud tuan, tiada hukuman bagi yang berdua-duan.

    2.hukuman bagi khalwat tidak ada, yang ada hanyalah hukuman bagi penzina?

    3. tiada hukuman bagi orang yang berdua-duan? (berdua-duan yang macamana yang tiada hukuman ni. tidak dinyatakan samada lelaki sama lelaki atau lekaki sama perempuan samda muhrim atau bukan muhrim, kena perjelaskan disini.)

    4. apaka TUJUAN hukuman terhadap orang yang menuduh orang berzina tanpa didatangkan bukti?

    5. Hukum khalwat ini juga satu penganiayaan kerana ianya mewujudkan syak samada berlaku zina atau tidak. (sekali lagi apakah yang dimaksudkan dengan KHALWAT menurut faham tuan yang sebenarnya?)

    6. Zina itu menatang apa?

    BalasPadam

Assalamu'alaikum wbt dan salam sejahtera. Selamat membaca.

 

Copyright © T H E . M A L A Y . P R E S S Design by Free CSS Templates | Blogger Theme by BTDesigner | Powered by Blogger