"Education aims at independence of judgement. Propaganda offers ready-made opinion for the unthinking herd."
THEMALAYPRESS - FIKIR DENGAN KRITIS | TERUS MELANGKAH LEBIH JAUH.

Assalamu'alaikum wbt dan salam sejahtera. Terima kasih kepada para pembaca yang masih setia mengikuti blog ini!
~ MOHAB (Blog layout versi 1 September 2014 - 17.07.2014 - 19 Ramadhan 1435)

Selasa, Oktober 20, 2009

RIWAYAT HIDUP SEORANG TOK GURU: PAK HAJI ZAIN ABDUL RAHMAN

























Sedutan daripada buku:

"BICARA DENGAN KIAS, KALAM BERSENI PENUH HIKMAH", begitulah yang tercatat di muka hadapan sebuah buku yang meriwayatkan kisah hidup seorang Tok Hikam.

Buku ini adalah dokumentasi bersiri mengenai guru-guru pondok atau ulamak Melayu yang berjasa kepada masyarakat Islam. Penghasilan riwayat hidup Tuan Haji Zain bin Abdul Rahman (Pak Haji Zain) ini diusahakan sebagai menghargai sumbangannya kepada masyarakat Islam. Ia juga bertujuan untuk menyatakan kepada mereka yang berminat mengenai sejarah supaya mengenang jasa dan menghargai sumbangan yang telah diberikan oleh Pak Haji Zain kepada umat Islam. Sekurang-kurangnya umum mengetahui sejarah hidup Pak Haji Zain biar pun tidak dapat mewarisi keilmuannya yang amat luas itu. Namun titisan ilmu yang dicurahkan pasti dapat diteruskan oleh murid-muridnya, cuma cara dan masa mungkin sedikit berbeza.

Kampung Changkat Keledang
Atau Kampung Changkat adalah sebuah perkampungan Melayu yang berjiran dengan perkampungan China. Jalan masuk ke Kampung Changkat adalah melalui Pekan Nibong Tebal atau persimpangan Simpang Empat Jawi. Umumnya orang-orang Melayu di kampung ini dan sekitarnya seperti Kampung Acheh, Kampung Kedah (dalam daerah Kerian) sehinggalah ke Kota Sarang Semut, Kedah adalah keturunan Melayu Patani.

Nenek moyang mereka pindah ke sini kesan dari peperangan orang-orang Melayu [Siam] dengan Siam [Thai] pada tahun-tahun sebelum 1839 [Inilah perang Musuh Bisik yang diketuai oleh Syed Alang Alaudin Panglima Bukit Gantang @ Duli Yang DiPertuan Kedah menentang kemaraan tentera Thai Buddha yang telah digelapkan dari sejarah Islam tanah air. Dimana sebelum itu 36,000 tentera Islam seluruh nusantara termasuklah dari Jawa (majapahit) turun dan dibantu oleh tentera Islam Manchu berentap dengan tentera Thai dan British di Pendang, Kedah].

Dalam peperangan tersebut, Kampung Changkat telah menjadi tempat persembunyian seorang panglima bernama Panglima Badarudin yang terlibat mempertahankan Kedah. Asal nama kampung ini menurut ceritanya bermula apabila Panglima Badarudin bermudik dengan tongkang masuk ke kawasan pedalaman melalui jalan laut dari Kuala Kedah. Malangnya tongkang mereka tersangkut akibat air sungai yang cangkat (cetek), lalu mereka mengambil keputusan untuk mengambil kedudukan disitu. Lalu dinamakan tempat itu Changkat.

Sedikit mengenai Pak Haji Zain
Nama sebenar beliau adalah Zain Abdul Rahman, dilahirkan pada 1901 di Kampung Changkat Keledang, Nibong Tebal, Seberang Prai Selatan. Ibunya adalah anak tempatan manakala ayahnya dipercayai berasal dari Tanah Jawa, Indonesia. Setelah kematian ayah, Pak Haji Zain dihantar oleh ibunya untuk berguru dengan bapa saudaranya Tuan Haji Mohd Saaid Omar. Setelah fasih berbahasa Arab, beliau dihantar pula belajar ke Mekah oleh Tuan Haji Mohd Saaid pada tahun 1914.

Semasa di Mekah Pak Haji Zain telah berguru dengan beberapa orang guru tetapi seorang sahaja guru beliau di Mekah yang pernah disebut namanya iaitu Tuan Hussain. Hal ini kerana beliau pernah menetap bersama-sama dengan Tuan Hussain buat beberapa ketika semasa disana.

Nama Tuan Hussain yang sebenar ialah Hussain bin Nasir bin Muhammad Taib bin Mas'ud bin Su'ud bin Muhammad Arsyad Al-Banjari adalah berketurunan pahlawan dimana moyang beliau Haji Mas'ud telah mati syahid dalam perang mempertahankan Kedah dari serangan Thai.

Daripada Tuan Hussain inilah Pak Haji Zain telah banyak mendalami Llmu Usulludin dan Ilmu Tauhid yang bersangkutan dengan ilmu-ilmu yang terkandung di dalam kitab 'Hikam' karangan Ibn Atha'illah.

Selain dari dua nama besar ini sebagai guru Pak Haji Zain terdapat seorang lagi tokoh ulama yang cukup terkenal di Kedah yang sempat didampingi beliau iaitu Syeikh Jarum Derga - juga seorang ahli Hikam.

Syeikh Jarum Derga atau nama sebenarnya Haji Muhammad Idris bin Wan Jamal bin Wan Abdul Latif bin Wan Muhammad sehinggalah sampai ke Saidina Hussain bin Saidina Ali, telah dilahirkan di Kampung Bendang dalam wilayah Yala, Patani pada tahun 1849 bersamaan 1266 Hijrah. Ayahnya merupakan seorang yang terkenal sebagai pahlawan yang pernah berkhidmat dengan kerajaan Melayu Patani. Sementara ayah saudaranya yang bernama Wan Abdul Samad pernah menjadi hulubalang diraja Kelantan.

Syeikh Jarum Derga pernah membuka pondok di Derga pada tahun 1899 dan merupakan murid serta anak angkat kepada Tuan Minal iaitu pengarang kitab Kasyful-Litham.

Pak Haji Zain di Mekah
Kemungkinan besar beliau menetap lama di Mekah sehinggakan beliau pandai memasak masakan Arab. Beliau dianggarkan pulang ke tanah air pada tahun 1925. Pak Haji Zain dikatakan masih berada di Mekah sewaktu terjadinya peperangan Malik Saud dan pemerintah Kota Mekah Syarif Hussain sekitar tahun 1924.

Pada ketika itu juga keluarga Saud telah berjaya menduduki Bandar Taif dalam peperangan tersebut. Pada masa yang sama Kota Mekah dan Madinah berada di dalam keadaan tidak begitu aman sehinggakan ramai orang Melayu meninggalkan kota keluar menyelamatkan diri dan ada juga yang pulang ke tanah air masing-masing.

Walaubagaimanapun Pak Haji Zain serta beberapa orang Melayu yang lain masih tinggal di Mekah bersama puak-puak lain. Pak Haji Zain menjadi penyelamat bangsa Melayu kerana pada waktu itu beliau atas keberanian, kebijaksanaan serta kelebihan yang ada pada beliau, dengan sendiri menunggang kuda mengadap wakil keluarga Saud untuk membuat rundingan dan perjanjian agar orang Melayu tidak diganggu. Rundingan tersebut berhasil dan Pak Haji Zain kemudiannya menemui kejayaan. Beliau terus menetap di Mekah dan meneruskan pengajiannya disana.

*Antara lain cerita tentang keberanian Pak Haji Zain ini (yang pelik tapi benar) ialah, beliau dikatakan pernah turun masuk ke telaga zam-zam seorang diri untuk melihat dengan mata kepalanya apa yang ada didalamnya. Kejadian ini berlaku kemungkinan sebelum puak Saud menghalau Syarif Mekah dari Tanah Haram.

*Dan beliau juga pernah terlibat dalam peperangan menentang kemaraan tentera Zionis di Tanah Arab dalam peristiwa Perang Enam Hari 1967. Padahal sewaktu itu beliau berada di Malaya. Perkara ini sebenarnya tidak pelik bagi siapa yang faham akan kebesaran kuasa Allah taala.

*tiada dalam buku.

Menjadi guru
Nama Pak Haji Zain walaupun tidak pernah terkenal atau mahsyur sebagai tokoh agama dimata masyarakat umum tapi namanya cukup terkenal dikalangan ramai muridnya.

Antara muridnya ialah Haji Muhammad bin Abdullah, Ustaz Hamid Pendang, Ustaz Hanafi Ahmad dan Darus bin Hj Ibrahim Sg Baru. Hal ini terbukti hasil daripada pengajaran dan pendidikan beliau yang berpandukan kitab Hikam ibn Atha'illah yang cukup mendalam, berseni serta mengesankan jiwa sehinggakan beliau diberi gelaran Tok Hikam.

Pak Haji Zain memang tidak pernah membuka pondok atau sekolah agama seperti mana jua guru-guru beliau kerana ilmu yang diajar oleh beliau ini amat sukar untuk difahami oleh kebanyakkan orang. Oleh sebab itulah, berkemungkinan beliau memilih dengan pertimbangan beliau sendiri untuk mengajar kira-kira seramai 18 sehingga 20 orang murid sahaja dirumah beliau.

Sifat peribadi dan kegemaran
Pak Haji Zain merupakan seorang yang pendiam bila berada dirumah. Beliau juga tidak banyak bercakap tetapi amat tegas dalam hal-hal yang menyentuh mengenai perintah Tuhan dan hukum-hukum agama. Beliau dikatakan tidak akan bertolak ansur langsung sekiranya sesuatu perkara itu menyalahi agama. Salah satu perkara yang kerap beliau tekankan adalah mengenai hukum sukat atau timbang sukat semasa berjual-beli.

Pak Haji Zain banyak meluangkan masa mentelaah kitab-kitab agama dan memperlihatkan sifat kesederhanaan serta berlembut semasa dengan anak muridnya. Beliau seorang yang kemas dan bergaya. Dari segi percakapan dan bahasanya pula, beliau selesa dengan bertutur kata manis semata-mata dan boleh pula berbahasa Inggeris.

Kata-kata Hikmat
Kata-kata hikmat yang terbit dari mulut Pak Haji Zain merupakan kata-kata kiasan daripada pengertian sebenar ilmu yang terdapat pada bait-bait dalam kitab Hikam untuk dijadikan panduan kepada anak-anak murid beliau. Pak Haji Zain sering menggunakan kata-kata yang begitu seni yang terlalu sukar dimengerti oleh orang biasa apabila mendengarnya, namun ianya mudah difahami apabila Pak Haji Zain membuat penjelasan dan penerangan yang sebenar.

Pengamalan mengungkap bait-bait Kitab Al-Hikam dalam bahasa Melayu yang cukup seni ini menjadikan murid-murid beliau luas pemikiran, tajam pandangan serta jauh kajian membuat kesimpulan. Ungkapan kata-kata hikmat ini hakikatnya lahir dalam syarahan pengajian Al-Hikam. Apa pun kata-kata hikmat beliau masih lagi terus bergema dan beralun memukul gegendang telinga dikalam oleh murid-murid serta manusia-manusia beruntung mengulang-ucap tuturan tersebut tanpa sangsi dan ragu.

Diakhir hayat
Pak Haji Zain kembali kerahmatullah di usia 75 tahun selepas solat zohor dirumahnya sendiri di Batu 3 1/4 Pantai Johor, Kedah dan telah dikebumikan di Masjid Alor Merah, Alor Setar dalam kawasan yang sama dengan guru beliau iaitu Haji Mohd Saaid bin Omar.

Kepulangan Pak Haji Zain ke rahmatullah telah meninggalkan kesan yang medalam dan sangat dirasai oleh murid-murid beliau. Beliau bukan sahaja guru yang mengajar tentang akhirat tetapi juga tentang dunia berdasarkan rujukan kitab Al-Hikam.

Pengajaran dan pendidikan kitab Al-Hikam itu hanya dapat diteruskan oleh mereka yang luhur serta bersih dan suci hati dan jiwanya.

Al Fatihah buat Almarhum Haji Zain bin Abdul Rahman. Guru yang banyak berjasa kepada Umat Melayu di Tanah Jawi ini.

Sekian.

Terbitan Majma' Budaya dan Warisan Jawi

Disalin semula oleh The Malay Press (untuk blog sahaja) dengan kebenaran bagi tujuan dakwah dan penyebaran ilmu.

3 comments:

  1. Assalamualaikum.

    Kena beza mengaji Hikam dengan baca hikam. Lanie ramai yg dok gi ngaji hikam tapi sekadar baca kitab hikam sebenarnya.

    Wassalam.

    BalasPadam
  2. asalamualaikum saya suhaimi keturunan tok bada dari changkat nibong tebal

    BalasPadam
  3. miebros...Salam en.Suhaimi saya fairus dari Shah Alam amat berminat untuk bertemu saudara jika diizinkan kerana sedang mencari bahan untuk sebuah buku berkaitan panglima2 kedah..jika tak keberatan email saya no hp untuk dihubungi di fairusazianismail@gmail.com terima kasih...

    BalasPadam

Assalamu'alaikum wbt dan salam sejahtera. Selamat membaca.

 

Copyright © T H E . M A L A Y . P R E S S Design by Free CSS Templates | Blogger Theme by BTDesigner | Powered by Blogger