NEGARA INI MILIK MUTLAK BANGSA MELAYU (نڬارا اين ميليق مطلق بڠسا ملايو)
Bagi Dr Burhan, perlembagaan merdeka yang digubal oleh Suruhanjaya Reid (SR) ini tidak diterima sepenuhnya terutama yang berkaitan dengan kerakyatan, bahasa dan kedudukan orang Melayu. Dalam rapat umum di Padang Malaya pada 17 Mac 1957, Dr Burhan telah menyatakan bahawa syor-syor dalam SR itu ternyata merugikan bangsa Melayu dan terbabas dari keadilan. Nama bangsa Melayu telah terhapus dan jaminan kedaulatan bangsa Melayu dan agama Islam telah ditinggalkan. Dr Burhan, atas platform sebuah parti politik yang disertainya ketika itu (atas jemputan) telah mengekemukakan satu memorandum kepada SR untuk dipertimbangkan, antara lainnya adalah:
A. Bahawa negeri ini adalah NEGARA MELAYU dan hak BANGSA MELAYU yang telah dibuktikan oleh sejarah dan diakui oleh undang2 dari satu ka-satu masa. Maka tugas Surohanjaya Perlembagaan ini pada perenggan yang kelima cheraian 5 untuk mengawal kedudukan Bangsa Melayu di- negeri ini janganlah di-lihatkan dari segi yang lain daripada hakikat yang tersebut di atas. Sa-barang perchubaan, sama berpelembagaan atau tidak-nya, hendak mengubah HAKIKAT ini adalah salah dari segi hak manusia dan undang2.