"Education aims at independence of judgement. Propaganda offers ready-made opinion for the unthinking herd."
THEMALAYPRESS - FIKIR DENGAN KRITIS | TERUS MELANGKAH LEBIH JAUH.

Assalamu'alaikum wbt dan salam sejahtera. Terima kasih kepada para pembaca yang masih setia mengikuti blog ini!
~ MOHAB (Blog layout versi 1 September 2014 - 17.07.2014 - 19 Ramadhan 1435)

Sabtu, September 20, 2008

Akta Perhubungan Kaum Bakal Memenuhi Selera SUQUI?

KOMEN PENULIS:
Ini bukan perkauman. Tetapi kepada kumpulan pendesak, mereka perlu CERDIK dan KERAS jika mahu dihormati. Dalam konteks negara, Agama dan Bangsa perlu di perjuangkan terlebih dahulu.  Jangan hanya pandai melalak dan menyanyi 'Hidup itu hidup ini' dek kerana kepentingan artis atau survival politik sesetengah individu. Apa jua badan yang ditubuhkan untuk bertindak bagi menjaga kepentingan Agama dan Bangsa perlu sentiasa peka - menjadi 'watchdog' kepada kerajaan yang sedia. Ini supaya ada 'check and balance' pada setiap tindakan kerajaan dan supaya tidak nanti diperkudakan oleh anasir atau agenda puak tertentu secara halus. 

Rupanya kita sedang mendendang lagu menuju ke arah 'pihak itu' tanpa disedari. Buka mata dan buatlah kajian sendiri.

('Badan yang ingin bertindak' jangan tidur dan bangun bermusim. Ia perlu dijawab dengan lojik, fakta dan SEJARAH REALITI. Alo pakcik, buatla study sket, kalau nak memang jangan pakai dah sejarah 1511 tu)
---------------------------------------------------------------------------
Trigger:
Akta hubungan kaum akan diwujudkan, kata Syed Hamid Albar


PUTRAJAYA 18 Sept. — Kerajaan akan menggubal satu akta mengenai hubungan kaum bagi dijadikan panduan kepada rakyat untuk memelihara dan mengukuhkan hubungan kaum, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Beliau berkata pegawai-pegawai Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Perpaduan, Kesenian dan Warisan (KEKWA) akan membincangkan soal penggubalan undang-undang itu setelah ianya dipersetujui oleh kabinet.

Bercakap kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini, Syed Hamid berkata bahawa setelah akta berkenaan diluluskan, KEKWA akan memainkan peranan yang penting bersesuaian dengan tnggungjawabnya menjaga hal-hal perpaduan.

“KDN hanya memberi input dalam usaha penguatkuasaan bagi menentukan keselamatan dan kesejahteraan negara dapat dipelihara,” katanya. - Bernama


------------------------------------------------------------------------
Refer:
Akta Kaum Acuan Suqiu


MEMANDANGKAN 83 tuntutan Jawatankuasa Rayuan Pilihan Raya Persatuan-persatuan Cina Malaysia (Suqiu) yang dikemukakan sebelum pilihan raya umum tahun lalu semakin mendapat perhatian umum hingga menimbulkan kontroversi di kalangan rakyat negara ini, di sini disiarkan terjemahan rasmi daripada teks bahasa Cina untuk manfaat pembaca. - Pengarang

TERJEMAHAN TUNTUTAN SUQUI.
MUKADIMAH
PILIHAN yang akan datang akan memilih kerajaan dan wakil rakyat yang akan memimpin negara ini ke alaf baru. Empat puluh dua tahun selepas mencapai kemerdekaan, negara kita telah berkembang maju dalam semua sektor hasil daripada usaha dan sumbangan rakyat semua kaum, dengan sepenuhnya menunjukkan dinamika sebuah negara yang berbilang kaum. Walau bagaimanapun, beberapa dasar kerajaan yang tertentu, terutamanya yang berkaitan dengan kesamaan bangsa, demokrasi, hak asasi manusia, autonomi kehakiman dan sebagainya perlu diperbaiki.

Krisis ekonomi pada dua tahun yang lepas dan wabak virus Nipah merupakan dua bencana terbaharu yang telah menyebabkan persatuan-persatuan Cina menimbang semula masa hadapan negara kita secara serius.

Kerajaan seharusnya mengadakan satu rancangan pembangunan yang sepadu untuk industri kecil dan sederhana dan Perkampungan Baru Cina yang telah ditubuhkan lebih daripada lima puluh tahun dahulu. Apabila kerajaan sedang giat menjalankan pelbagai projek mega, kita masih menghadapi kekurangan dana, bilik darjah dan guru di sekolah-sekolah. Kami juga perlu menaruh perhatian pada sektor-sektor yang mundur yang terdapat di kalangan Orang-Orang Asli, pekerja estet, penduduk bandar dan petani miskin.

Di samping itu, kami amat mengambil berat tentang isu amalan rasuah, penyimpangan kerajaan dalam pentadbiran awam, kebertanggungjawaban dan kelutsinaran kerajaan yang telah menimbulkan banyak perbincangan di kalangan orang awam. Demi cinta kami terhadap negara, serta perhatian kami terhadap masa hadapan bangsa kita, kami meminta semua calon dan parti politik yang akan mengambil bahagian dalam pilihan raya yang akan datang menyokong dan melaksanakan rayuan kami

Kami juga menggesa semua pengundi negara kita berusaha merealisasikan rayuan ini.

1. Menggalakkan Perpaduan Negara
Perpaduan negara mestilah berasaskan kepentingan semua rakyat negara kita dan bukan berdasarkan perkauman. Hanya dengan berasaskan keadilan dan non-diskriminasi, dapat mewujudkan satu lingkungan yang sesuai untuk mencapai perpaduan dan keharmonian di antara kaum:

* Gubalkan Akta Perhubungan Kaum untuk mencegah diskriminasi perkauman, rasialisme dan rasisme.
* Tindakan Afirmatif (Affirmative Action) harus bertujuan untuk memberi perlindungan dan peningkatan kepada golongan masyarakat yang lemah, tanpa mengira kepercayaan agama, latar belakang sosial dan kaum.
* Mengambil langkah untuk memansuhkan perbezaan antara 'bumiputera / bukan bumiputera' dalam semua bidang.

2. Mempertingkatkan Demokrasi
Demokrasi bukan sahaja bermakna amalan pengundian setiap lima tahun - kerajaan harus dipilih oleh rakyat pada semua peringkat, supaya mencapai demokrasi parlimentari yang sebenarnya dan memastikan keadilan pilihan raya:

* Garisan sempadan kawasan pilihan raya mestilah berasaskan prinsip 'satu orang satu undi'. Perbezaan bilangan pengundi antara kawasan-kawasan pilihan raya yang berlainan sepatutnya tidak melebihi 15%, seperti mana yang diamalkan pada peringkat awal selepas kemerdekaan negara ini supaya mengelakkan jurang besar yang sedang wujud di antara bilangan pengundi di kawasan pilihan raya yang berlainan dalam sistem pengundian kini.
* Memulihkan pilihan kerajaan tempatan.
* Senator haruslah dipilih oleh rakyat.

3. Mempertahankan Hak Asasi Manusia dan Menegakkan Keadilan
Mempertahankan hak asasi manusia, keadilan, keamanan dan kebebasan negara kita, agar melindungi hak-hak politik, sosial, kebudayaan dan ekonomi seluruh rakyat Malaysia:

* Ratifikasikan dan menandatangani semua konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu dan kovenan-konvenan antarabangsa.
* Suruhanjaya Hak Asasi Manusia yang baru ditubuhkan perlu diperluaskan struktur anggotanya dan pastikan bahawa badan tersebut berepresentatif dan bebas.
* Pastikan kebebasan Peguam Negara dan badan kehakiman.
* Mansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri selaras dengan perkembangan zaman.
* Gubalkan Akta Kebebasan Informasi.
* Meminda Akta Kesatuan Sekerja, Akta Hasutan, Akta Penerbitan dan Mesin Cetak, Akta Polis dan Akta Universiti dan Kolej supaya selaras dengan piawaian hak asasi manusia.
* Mempertahankan kebebasan bercakap, perhimpunan dan persatuan.

4. Membasmi Amalan Rasuah
Amalan rasuah merupakan salah satu halangan besar dalam pembangunan negara. Ia bukan saja merampas kepentingan rakyat jelata, malah menjejaskan fungsi pentadbiran kerajaan dan merosakkan kebertanggungjawaban kerajaan. Amalan rasuah mesti dihapuskan pada semua peringkat perkhidmatan awam dan kerajaan:

* Susun semula Agensi Pencegah Rasuah supaya ianya menjadi satu badan bebas dan bertanggungjawab secara langsung kepada Parlimen.
* Gubalkan satu akta di mana semua kakitangan tinggi kerajaan dan wakil rakyat yang dipilih diwajib mengisytiharkan aset mereka secara terbuka kepada orang awam.

5. Laksanakan Dasar Ekonomi yang Adil
Kerajaan harus mengkaji semula dasar ekonomi negara secara menyeluruh untuk mengatasi kelemahan yang terdedah semasa krisis kewangan berlaku baru-baru ini. Semua kaum mesti diberi peluang yang sama untuk bersaing. Amalan rasuah, kronisme dan nepotisme harus dielakkan dalam perihal pemberian saham atau kontrak. Dalam tiga puluh tahun yang lampau, sewaktu kerajaan menitikberatkan pembangunan industri dan komersial bagi kaum bumiputera, perkembangan dan modenisasi bagi industri kecil dan sederhana telah diabaikan. Kerajaan juga telah mengabaikan masalah yang dihadapi oleh pernternak babi, terutamanya dalam krisis industri penternak babi yang berlaku baru-baru ini, kerajaan tidak mengambil tindakan dengan segera untuk menolong mangsa-mangsa wabak dan keluarga mereka:

* Menggalakkan modenisasi dan pembangunan industri kecil dan sederhana dalam negara ini.
* Merumuskan dan melaksanakan dasar pertanian yang kekal.
* Memberikan bantuan secara adil dan mencukupi kepada semua sektor termasuk industri penternakan babi.
* Membahagikan tanah secara adil kepada petani-petani yang memerlukannya tanpa mengira kaum.
* Hapuskan sistem kuota yang berasaskan 'kaum' dan gantikannya dengan sistem pengagihan yang berasaskan 'kebolehan' (means-tested sliding scale).
* Pastikan bahawa dana KWSP serta dana-dana awam yang lain kepunyaan pekerja negara kita diberikan tempat perwakilan yang memuaskan kepada organisasi pekerja untuk menjamin pengurusan dana yang betul.

6. Kaji Semula Dasar Penswastaan
Tujuan menswastakan kemudahan awam ialah untuk meningkatkan kecekapan dan mengurangkan beban ekonomi negara. Walaupun sesetengah kemudahan awam yang diswastakan memberi banyak kemudahan kepada rakyat dan juga menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara, namun disebabkan ketidaklutsinaran operasinya, ianya telah menimbulkan monopoli dalam bidang perniagaan, memberatkan beban rakyat dan menyebabkan kronisme serta menghalang pertumbuhan ekonomi negara:

* Semua projek penswastaan harus berasaskan kepentingan orang awam.
* Projek-projek penswastaan harus ditender secara terbuka.
* Dirikan Suruhanjaya Urusan Awam untuk menyelia dan menilai projek-projek yang diswastakan untuk melindungi kepentingan rakyat.
* Batalkan rancangan pengkorporatan perkhidmatan kesihatan supaya membolehkan rakyat negara kita, terutamanya mereka yang berpendapatan rendah, menikmati perkhidmatan kesihatan awam yang murah dan cekap.
* Gubalkan akta antimonopoli untuk mengelakkan amalan monopoli dalam bidang penswastaan.
* Kaji semula perkhidmatan pembetungan supaya mengurangkan beban para pengguna.
* Hentikan pengenaan tol dan penswastaan pada jalan raya di dalam bandar raya dan jalan raya yang sedia ada yang telah dipertingkatan menjadi lebuh raya.

7. Laksanakan Dasar Pendidikan yang Progresif dan Liberal
Demi menghadapi cabaran abad baru, kita perlu mengkaji semula keseluruhan sistem pendidikan negara kita dengan menumpukan perhatian pada pengembangan potensi manusia, memenuhi keperluan sumber manusia dan memupuk daya kreativiti, daya inisiatif serta teknik pembelajaran para pelajar kita. Komuniti Cina memandang berat terhadap Akta Pendidikan 1996 yang tidak berlaku adil terhadap pendidikan bahasa ibunda bagi kaum Cina, India dan kaum-kaum minoriti lainnya di negara kita. Disebabkan kekurangan dana, bilik darjah dan guru, perkembangan sekolah-sekolah rendah Tamil dan Cina telah terhambat:

* Meminda Akta Pendidikan 1996 untuk mencerminkan dasar pendidikan kebangsaan sebagaimana yang dinyatakan di dalam Ordinan Pendidikan 1957 yang memastikan penggunaan, pengajaran dan perkembangan bahasa ibunda semua komuniti etnik di negara kita.
* Tambahkan bilangan sekolah rendah Tamil dan Cina di kawasan yang padat dengan penduduk kaum India dan Cina, agar hak untuk menerima pendidikan bahasa ibunda bagi pelajar-pelajar kaum tersebut tidak dirampas.
* Selesaikan masalah kekurangan guru yang lama berterusan di sekolah-sekolah rendah Tamil dan Cina.
* Batalkan rancangan Sekolah Rendah Wawasan dan hentikan pelantikan guru-guru yang tidak berkelayakan bahasa Cina untuk memegang jawatan-jawatan tinggi di sekolah rendah Cina untuk memastikan sifat dan cara pendidikan di sekolah rendah Cina tidak diubah.
* Pastikan bahawa pengagihan peruntukan pendidikan, latihan guru, perancangan kurikulum, bahan pengajaran, kemudahan dan perkakasan yang asas adalah adil dan mencukupi bagi sekolah-sekolah semua aliran bahasa, termasuk cadangan sekolah-sekolah bestari.
* Realisasikan pendidikan bahasa ibunda dengan menggabungkannya ke dalam rancangan pendidikan negara kita dan sediakan latihan untuk guru-guru, perancangan kurikulum dan bahan-bahan pengajaran baginya.
* Sediakan kelas bahasa ibunda pelajar (Pupil's Own Language -- POL) dalam kurikulum formal sekolah seandainya terdapat sekurang-kurangnya lima (5) pelajar dari mana-mana kumpulan etnik di mana-mana sekolah.
* Tambahkan peruntukan untuk perbelanjaan pendidikan.
* Kaji semula dan naikkan gaji guru.
* Kenalkan sistem pinjaman dan bantuan kewangan pelajar dengan pengagihannya mengikut kemampuan keluarga pelajar (means-tested sliding scale) tanpa mengira kaum.
* Iktirafkan Sijil Peperiksaan Bersama Sekolah Menengah Persendirian Cina.
* Izinkan penubuhan Sekolah-sekolah Menengah Persendirian Cina baru dan berikan subsidi untuk perkembangannya.
* Tambahkan bilangan sekolah rendah, menengah, kolej dan universiti selaras dengan pertumbuhan penduduk negara kita.
* Iktirafkan ijazah yang dianugerahkan oleh institusi yang bertaraf antarabangsa, termasuk Universiti Nanyang yang lampau serta universiti-universiti yang bukan aliran bahasa Inggeris di negara-negara seperti China, Taiwan dan sebagainya.
* Hapuskan sistem kuota untuk kemasukkan universiti.

8. Galakkan Perkembangan Pelbagai Kebudayaan
Negara kita ialah negara yang berbilang kaum. Akan tetapi, Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang sedia ada adalah didasarkan pada budaya tunggal, ianya merupakan halangan bagi perkembangan kebudayaan masyarakat majmuk. Demi memperbetulkan kesalahan ini, perumusan kebudayaan nasional haruslah diasaskan pada pluralistik masyarakat kita:

* Kenalkan dasar kebudayaan dan seni yang lebih liberal dan pluralistik.
* Sediakan bantuan kewangan dan biasiswa seni dan galakkan aktiviti kebudayaan berbilang kaum negara kita.
* Wajibkan kerajaan pada semua peringkat untuk menggalakkan budaya pluralistik.
* Pemberian ganjaran atau hadiah kesusasteraan dan seni negara haruslah terbuka kepada semua rakyat, tanpa mengira kaum atau bahasa.
* Kebudayaan semua kaum dan agama haruslah dilayani secara saksama oleh media dan badan-badan kebudayaan rasmi.
* Galakkan pertukaran kebudayaan antarabangsa.
* Mendidik dan menggalakkan rakyat negara kita saling menghormati agama-agama yang berlainan di dalam negara ini serta perkuatkan perhubungan dan pertukaran fikiran antara badan-badan agama berlainan.
* Berikan layanan yang adil bagi badan-badan agama yang berlainan dalam hal penyebaran, perkembangan, mendapat kemudahan rasmi kerajaan serta dilayani dengan saksama oleh media rasmi.

9. Lindungi Alam Sekitar
Semua projek pembangunan yang meninggalkan kesan buruk ke atas alam sekitar seperti kawasan tanah tinggi, hutan dan kawasan berpaya atau yang akan merosakkan peninggalan sejarah serta kawasan perkuburan, mesti dikawal dengan ketat. Piawaian dan undang-undang perlindungan alam sekitar perlu dikuatkuasakan secara serius:

* Pastikan projek empangan tidak merosakkan ekologi persekitaran.
* Kenakan langkah pemeliharaan air dan tenaga yang ketat.
* Wartakan semula hutan simpanan dan hidupan liar serta tumbuhan yang terpelihara.
* Kuatkuasakan Akta Perhutanan dan Alam Sekitar yang sedia ada untuk menghalang aktiviti pembalakan yang sembarangan.
* Kenakan cukai ke atas penggunaan tenaga serta pengeluaran gas karbon atau gas buangan lain yang berbahaya.
* Indahkan kawasan-kawasan perkuburan dan pastikan kawasan tersebut tidak dipindah untuk tujuan pembangunan.
* Tawarkan insentif bagi industri yang menggunakan tenaga yang boleh diperbaharui dan tenaga solar.

10. Modenisasikan dan Bangunkan Perkampungan Baru
Perkampungan Baru mempunyai sejarah lebih daripada lima puluh tahun. Seramai 1.5 juta kaum Cina yang berselerak di 452 buah Perkampungan Baru masih dikecualikan daripada arus pembangunan ekonomi negara. Infrastruktur di Perkampungan Baru tersebut perlu diperbaiki. Ramai penghuni masih belum mendapat hak milik tanah atau mendapat pembaharuan hak milik tanah:

* Pastikan bahawa semua penduduk Perkampungan Baru diberi hak milik tanah dengan segera.
* Selesaikan rancangan pembangunan Perkampungan Baru dengan secepat mungkin.
* Sediakan peruntukan pembangunan untuk Perkampungan Baru mengikut perkadaran bilangan penduduk.
* Memperuntukkan tanah yang mencukupi untuk petani-petani Perkampungan Baru dan luar bandar.

11. Realisasikan Dasar 'Perumahan Untuk Semua'
Kerajaan harus merealisasikan wawasan perumahan untuk semua rakyat dengan lebih giat. Tindakan ini diperlukan untuk menyelesaikan masalah perumahan yang ketara bagi kumpulan yang berpendapatan sederhana dan rendah:

* Pastikan bahawa kerajaan negeri memperuntukkan tanah yang lebih banyak secara percuma untuk pembinaan perumahan awam kos sederhana dan rendah.
* Pastikan pengagihan perumahan kos rendah adalah adil untuk mengelakkan daripada memberikannya kepada mereka yang tidak layak.
* Laksanakan sistem "sewa dahulu beli kemudian" agar membolehkan mereka yang tidak mampu memiliki rumah sendiri.

12. Lindungi Hak Asasi Wanita
Hak asasi wanita mesti diutamakan di sektor swasta dan awam:

* Beri sokongan kepada 'Agenda Wanita 1999' yang diutarakan oleh organisasi bukan kerajaan wanita negara kita.
* Pertingkatkan fungsi autoriti kerajaan yang berurusan dengan hal-hal wanita.
* Hapuskan segala jenis diskriminasi terhadap wanita dalam masyarakat negara kita.
* Kenakan hukuman yang berat kepada mereka yang melakukan keganasan terhadap kanak-kanak dan wanita.
* Menggesa sektor awam dan swasta supaya menyediakan kemudahan penjagaan kanak-kanak bagi pekerja-pekerja wanita.

13. Media yang Adil
* Media harus dioperasi secara adil dan bebas tanpa campur tangan kerajaan:
Tubuhkan Badan Penyiaran yang bebas dan adil.
* Hapuskan peraturan mengenakan pembaruan tahunan permit menerbit (KDN).
* Galakkan penubuhan media penyiaran swasta.
* Tambahkan peruntukan masa untuk penyiaran berita dalam bahasa Mandarin.

14. Memulihkan Kelayakan Rakyat Terhadap Pasukan Polis
* Pada akhir-akhir ini, cara pengendalian pihak polis dalam penyiasatan adalah amat membimbangkan dan hal ini mungkin menggugatkan keyakinan orang awam terhadap pasukan polis:
* Tubuhkan satu suruhanjaya penyiasatan statutori yang bebas untuk menyiasat kes penyalahgunaan kuasa dan kekerasan polis. Laporan siasatan suruhanjaya tersebut mesti diumumkan kepada orang awam manakala mereka yang didapati bersalah patut dihukum.
* Mempertinggikan kualiti pasukan polis menerusi pelarasan gaji dan prosedur pengambilan polis baru yang lebih ketat dan sempurna supaya membentukkan satu pasukan polis yang adil, berperikemanusiaan dan lebih bertanggungjawab.

15. Memperbaiki Kebajikan
Setiap manusia berhak untuk hidup dan mati secara bermaruah dan juga berhak menerima perlindungan sosial daripada pengangguran, sakit, umur tua, kematian atau lain-lain kejadian di luar kawalan mereka:
* Berikan perhatian khas kepada mereka yang kurang bertuah, kurang upaya, warga tua, kanak-kanak dan wanita.
* Sediakan kemudahan rekreasi untuk belia supaya memimpin mereka kepada satu cara hidup yang sihat.
* Tambahkan peruntukan dana bagi sektor kesihatan dan perubatan, terutamanya dalam hal pencegahan penyakit.
* Tingkatkan pengetahuan rakyat terhadap kehidupan sihat dan penjagaan kesihatan yang asas.

16. Hormati Hak Pekerja
Pekerja berhak mendapatkan syarat-syarat kerja yang saksama dan lingkungan kerja yang demokratik, berperikemanusiaan serta selamat, selaras dengan piawaian buruh antarabangsa:
* Iktirafkan hak pekerja elektronik untuk mendirikan kesatuan pekerja.
* Gubalkan akta untuk memastikan semua pekerja termasuk pekerja estet mendapat gaji minima yang munasabah.

17. Menyara Orang Asli
* Sahkan hak tanah rizab Orang Asli agar mereka dapat mengawal sumber dan tanah mereka sendiri dan dapat memilih cara hidup mereka sendiri.

Rayuan ini dianjurkan oleh 11 pertubuhan nasional Cina seperti berikut:
Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong)
Persekutuan Persatuan-persatuan Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong)
Persekutuan Persatuan-persatuan Alumni Sekolah Cina Malaysia
Nanyang University Alumni Association of Malaysia
Taiwan Graduates Alumni Association of Malaysia
Dewan Perhimpunan Cina Selangor
Federation of Guangdong Associations of Malaysia
Federation of Guangxi Associations of Malaysia
Federation of Sanjiang Associations of Malaysia
Federation of Fuzhou Associations of Malaysia
Huazi Research Centre
Setakat 16 Ogos 1999, rayuan ini telah diindoskan oleh 1,848 pertubuhan Cina di Malaysia.
Pada tahun 2000, dua lagi persatuan Cina telah menyertai Jawatankuasa Suqiu selain daripada 11 persatuan di atas, dua persatuan ini ialah:
Dewan Perhimpunan Cina Negeri Sembilan
Federation of Hokkien Associations of Malaysia
Sebelum Pilihan Raya 1999, rayuan ini telah diindoskan oleh 2,095 buah pertubuhan Cina di Malaysia.


0 comments:

Catat Ulasan

Assalamu'alaikum wbt dan salam sejahtera. Selamat membaca.

 

Copyright © T H E . M A L A Y . P R E S S Design by Free CSS Templates | Blogger Theme by BTDesigner | Powered by Blogger