"Education aims at independence of judgement. Propaganda offers ready-made opinion for the unthinking herd."
Assalamu'alaikum wbt dan salam sejahtera. Selamat membaca.
~ MOHAB (1 September 2014 - 17.07.2014 - 19 Ramadhan 1435)

Sabtu, Februari 16, 2008

The God Delusion


The God Delusion: Ahli agama lawan saintis
Oleh: MAZLAN NORDIN - Mingguan Malaysia 20 May 2007
BERLAKU kini ialah polemik di negara-negara Barat di antara golongan beragama Kristian dengan segelintir ahli-ahli sains yang atheis. Ia berlaku setelah pada tahun lalu terbit buku berjudul The God Delusion karya Richard Dawkins yang berpendapat bahawa iman tanpa bukti adalah sesuatu yang berbahaya sekali.

Turut melarutkan perdebatan ialah interviu oleh akhbar dan majalah dengan Dawkins. Sebilangan pembaca yang menentangnya menyatakan harapan bahawa pada saat akhir hayatnya nanti, beliau akan bertaubat dan kembali memeluk agama Kristian. Jangan harap, segera dijawab oleh Dawkins, Sarjana Universiti Oxford.

Menurut laporan akhbar tulisan Dawkins, berumur 66 tahun, mendorong sebilangan daripada golongan atheis tampil kemuka. Di antara mereka ialah sebilangan ahli-ahli sains, para artis dan intelektual. Ini kerana The God Delusion telah menjadi “bestseller”. Pertanyaan: Kenapa gerangan buku antiagama seperti itu laris di negara-negara Barat?

Apakah juga tercetus hanya polemik heboh beberapa waktu saja? Ini kerana debat yang sama pernah berlaku pada bulan Jun 1994 setelah akhbar Financial Times, London menyiarkan sebuah makalah anti-agama oleh Profesor John Postgate, dari Universiti Sussex.

Makalahnya itu segera dijawab oleh seorang pemimpin agama Kristian, bernama Hugh Dickinson, Dean of Salisbury. Lalu beliau menyatakan: “Sains dan agama menduduki dunia berbeza, masing-masing dengan bahasanya. Agama adalah mengenai erti kehidupan insan, dengan pelbagai tujuan dan nilai-nilainya. Agama adalah mengenai sifat segala sesuatu, manusia dan pengalaman mereka.”

“Sains pula ialah mengenai pelbagai ukuran dan berat ringan segala sesuatu. Pengalaman-pengalaman manusia yang mendalam tidak boleh diukur atau dikira- kira.”

Dickinson lalu bertanya kenapa dewasa ini “sains” menimbulkan kecurigaan yang meluas dan apakah juga nilai moraliti yang dibawa oleh dunia sains untuk menjadi panduan manusia. “Sains tidak dapat memberitahu nilai segala sesuatu. Apakah status janin manusia?”

Lebih membahayakan lagi, beliau menambah, ialah persoalan mengenai siapa yang membayar dan mengeluarkan wang untuk dunia sains. Ahli-ahli sains tentunya diupah oleh kerajaan-kerajaan, syarikat-syarikat gergasi internasional atau kumpulan-kumpulan yang mempunyai kepentingan.

Dickinson juga mengajukan pertanyaan: Apakah boleh berlaku pemindahan kuasa dari tangan kulit putih kepada yang berkulit hitam di Afrika Selatan dengan begitu pantas kalau tidak kerana desakan pelbagai golongan agama. (Antara lainnya juga ialah kritikan keras) Tunku Abdul Rahman dalam satu sidang Komanwel setelah pihak berkuasa kulit putih membunuh sebilangan ramai kulit hitam dan berikutan itu Afrika Selatan pimpinan rejim aparteid disingkir dari Komanwel).

Polemik tersebut berlaku lebih satu dekad lalu dan kini berulang ekoran terbitnya The God Delusion oleh Dawkins, seorang ahli biologi. Beliau dianggap pengikut ahli sains Charles Darwin (1809-82) yang menyatakan bahawa manusia berasal dari gorila. Antara persoalan yang berbangkit ialah bahawa Dawkins hanya mengetahui ajaran-ajaran agama Kristian dan tidak mengetahui agama-agama lain.

Menurut seorang penulis yang menginterviunya, Dawkins tidak senang sekali manakala Presiden Bush, Osama bin Ladin atau Ayatollah Khomeini kerap menyebut nama Tuhan dalam kenyataan atau ucapan mereka. Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa ia tidak menganjurkan supaya agama diharamkan. “Kalau anda mahu baca buku itu (The God Delusion), bacalah. Tapi kalau takut, jangan baca.”

Sejak beberapa waktu lalu, beliau kerap diundang berucap mengenai pendiriannya dan berdebat. Kebiasaannya tersebut dianggap berbeza dari Darwin, seorang yang pemalu dan isterinya pula kuat pegangan agamanya!

Seperti telah disebut, Dawkins hanya mengetahui ajaran-ajaran agama Kristian saja dan tidak mengetahui kandungan agama-agama lain. Ertinya juga hujah beliau hanya mengenai agama asal diri sendiri.

Betapa pandangan yang seumpama beliau mengenai peristiwa di Melaka setelah jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1641. Kenapa orang-orang Melayu sepanjang masa itu tetap beragama Islam dan tidak memeluk agama-agama lain.

Begitu juga setelah Inggeris menguasai Melaka dan Tanah Melayu dan pengembang-pengembang agama Kristian bergerak di Melaka, Pulau Pinang dan Singapura. Namun, Melayu tetap Islam.

Bagi pembaca biasa, walau apa juga agama ialah pertanyaan: Betapa moraliti ahli-ahli sains yang mencipta bom nuklear yang boleh membunuh ratusan ribu manusia dalam sekelip mata? Bagi mereka bom atom di Hiroshima dan Nagasaki tidak memadai.

0 comments:

Catat Ulasan

Assalamu'alaikum wbt dan salam sejahtera. Selamat membaca.

 

Copyright © T H E . M A L A Y . P R E S S Design by Free CSS Templates | Blogger Theme by BTDesigner | Powered by Blogger