Halimaton Saadiah Bohan (BN-Kota Damansara) berkata, tindakan itu jelas merugikan orang Melayu kerana tanah rizab yang diambil dan digantikan dengan tanah sedia ada mungkin tidak sama dari segi nilai tanah selain lokasinya tidak strategik.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan Selangor tidak perlu melayan permintaan ADUN Sekinchan, Ng Sue Lim daripada DAP yang mahu Tanah Rizab Melayu di Bagan Nakhoda Omar dipindah milik kepada penduduk Cina yang menetap di kawasan itu.

“Sebelum ini, mereka telah memohon Tanah Rizab Melayu di kawasan Sekinchan seluas 28.3 hektar untuk diberikan kepada penduduk Cina dan permohonan itu diluluskan pada 2010.

“Jadi kita nak tanya kerajaan negeri, sampai bila tuntutan seperti ini hendak dilayan kerana selagi kerajaan negeri tunduk kepada permintaan itu, selagi itu permintaan seperti ini akan berterusan,” katanya kepada pemberita di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini. - BERNAMA