"Education aims at independence of judgement. Propaganda offers ready-made opinion for the unthinking herd."
Assalamu'alaikum wbt dan salam sejahtera. Selamat membaca.
~ MOHAB (1 September 2014 - 17.07.2014 - 19 Ramadhan 1435)

Selasa, Januari 13, 2015

SEJARAH BANJIR PAHANG 2014 - JANTUNG PISANG BERI PETANDA.

Bismillah... 
Sebermula, penulis memulakan perjalanan awal tahun 2015 menuju ke Kuala Krai, Kelantan. Selang seminggu kemudian penulis menuju pula ke Pahang. Suasana selepas banjir besar sama sahaja di kedua-dua buah negeri ini. Tiada yang mampu kekal, jika ditakdirkan hanyut, maka hanyutlah dibawa arus deras lagi berlumpur. Habis segala harta benda, harta pusaka, tanah ladang, kebun pisang, kebun getah, stesen minyak, pusat-pusat perniagaan diselaputi lumpur tebal. 

Kali ini jelas sekali, banjir bukan lagi barang mainan untuk dibuat pesta bersuka ria, malah dilihat sebagai tanda bayaran 'cash on delivery' terhadap kesalahan yang dilakukan oleh segelintir manusia di muka bumi ini, begitulah kata sesetengah daripada mereka yang peka tentang perubahan alam dan yang ada ilmu agama.

Tujuan penulis ke pantai timur adalah untuk mencari ahli yang arif tentang cuaca dan petanda gegak gempita yang harus mendatangkan mara-bahaya kepada manusia. Tidak berjumpa di Kelantan, tetapi akhirnya ketemu juga di Pahang.

Jamaludin bin Yatim, 62, seorang penoreh getah menyapa penulis ketika Misi Bantuan Banjir 2015 sedang dijalankan di Kampung Kerai, Temerloh. Beliau lantas membuka cerita tanpa ditanya, mungkin kerana penulis datang membawa kamera. 


Menurutnya , banjir yang berlaku pada tahun ini adalah lima kali ganda besarnya daripada tahun 1926, 1967, 1971 dan 1973. Ini kerana setiap kali kali banjir besar berlaku aras air akan menaik satu meter dari tahun yang sebelumnya. "Air pada tahun 1973 engkat ini," sambil menunjukkan paras lehernya. Beliau yang ketika itu berusia belasan tahun masih ingat lagi peristiwa banjir besar tahun 70an yang melanda kampungnya itu. "Tapi tahun ini lagi besar...ampuh rumah-rumah seme abih," sambungnya lagi.

Menurutnya, setiap kali banjir besar akan berlaku maka akan ada petunjuk atau petanda yang sampai memberitahu kepada penduduk di pinggiran sungai.

"Banjir besar biasa berlaku bila bulan naik...bulan Melayu, jangan tengok bulan omputih," tambahnya. "Kala nak banjir itu air sungai Pahang naik dan akan ada sebatang buluh hanyut ditengah-tengah sungai....masa itu tengok engkat mana hujungnya, banjir yang nak sampai itu akan ampuh hujung buluh tu," sambil menunjukkan ruas jari telunjuknya. "Macamana pakcik tahu?" Tanya saya. "Kita perhati...banjir sungai Pahang ni bukan baru," jelasnya.

"Kala air besar, tengok ulor, dia bersalai nu hujung pokok...takat ulor tu bersalai tulah tanda ketinggian paras air yang bakal naik," sambungnya lagi. "Ada juga yang mendengar bunyi guruh air...ghuuuu...ghuuuuu...jauhhhh dia berbunyi, selalunya pukul tiga pagi, masa tu badan rasa rimas...itu juga petanda," katanya lagi. "Petanda besornya....hujan tak sidang selama dua minggu..." sambungnya.

"Haaa...awok tak rajin tengok hat ni...," katanya. "Tak rajin tengok?" kata saya. "Ha, tak rajin tengok ni...petanda yang nyata," katanya. "Apa dia?" Tanya saya. "Petanda jantung pisang," katanya.

Kemudian beliau mempelawa saya ke rumahnya melihat petanda nyata aras banjir sungai Pahang yang melanda rumahnya sendiri. Sampai di rumahnya, beliau menunjukkan dua batang pokok pisang yang berbuah, satu jantung mengadap ke tanah, satu lagi tandan pisang naik menjulang ke langit, jantungnya seakan-akan mengelak dari mencecah air. Setelah melihat tanda lumpur banjir di rumahnya sama taranya dengan hujung jantung pisang maka bagi penulis,  benarlah petanda itu.



Sememangnya petanda dan petunjuk ada, sudah diberikan oleh Yang Maha Kuasa buat mereka yang mengerti, barang siapa yang tidak mahu membuka mata, maka tidak melihatlah mereka, harapnya tidak sampai ke mati. 

Sesungguhnya tiada yang mampu kekal menongkat langit selama-lamanya di dunia ini.

Sekian.
TMP

3 comments:

  1. pss TMP, nak tanya sikit ni... Facebook PAges TMP pergi mana??

    BalasPadam
  2. nice post gan... nambah info nih
    ====================================
    Kubah Masjd Murah hanya ada di, Mahkota Kubah dot net
    or free backlink4u click on INDpati

    BalasPadam

Assalamu'alaikum wbt dan salam sejahtera. Selamat membaca.

 

Copyright © T H E . M A L A Y . P R E S S Design by Free CSS Templates | Blogger Theme by BTDesigner | Powered by Blogger