10 May 2015, Ahad :-
Istiadat Menziarahi Makam-Makam Sultan dan Pemerintah Perak yang terdahulu sempena Istiadat Pertabalan Paduka Seri Sultan Perak XXXV (Ke-35) diteruskan lagi pagi tadi dimana DYMM Paduka Seri Sultan Perak dan DYMM Raja Permaisuri Perak menziarahi Makam Sultan Perak ke-24 Paduka Seri Sultan Ali Al-Mukammal Inayat Shah (Marhum Nabi Allah) yang memerintah 1865-1871. Makam Almarhum terletak di Gedong Siam, Sayong.
Sultan Ali Al-Mukammal Inayat Shah mangkat pada 1871 dan istiadat permakaman tidak dapat dijalankan kerana Raja Muda Raja Abdullah tidak mahu berangkat menziarahi jenazah serta mengetuai pengelolaan istiadat kemangkatan itu. Keadaan ini menyebabkan istiadat permakaman tergendala selama empat puluh hari. Jenazah Sultan tidak boleh dimakamkan selagi pengganti Sultan tidak dilantik.
Keadaan ini berlaku kerana pada ketika itu Tengku Menteri Ngah Ibrahim, pemerintah daerah Larut sedang berselisih faham dengan Raja Muda Raja Abdullah. Tengku Menteri Ngah Ibrahim merupakan seorang yang kaya-raya dan mempunyai pengaruh kuat ke atas ramai orang besar-besar Perak menyebabkan Raja Muda Raja Abdullah tidak berani berangkat ke istiadat permakaman berkenaan.
Selain daripada sebab diatas, Raja Muda Raja Abdullah tidak berani mudik ke Sayong kerana takut akan dibunuh oleh orang-orang Raja Yusuf ibni Almarhum Sultan Abdullah Muhammad Shah yang bersemayam di Senggang. Raja Yusuf tidak menyukai Raja Muda Raja Abdullah kerana mengikut cerita, Raja Muda Raja Abdullah telah berseliseh faham dengan isterinya Raja Tipah yang kemudiannya dilarikan ke Selengor oleh Raja Daud bersepupu dengan Raja Mahdi dari Selangor. Raja Tipah adalah adinda perempuan kepada Raja Yusuf.
Akhirnya, orang besar-besar Perak berkumpul di Sayong dan mengambil keputusan memakamkan jenazah Almarhum di Gedong Siam di Sayong pada 28 Jun 1871. Almarhum dikurniakan dengan gelaran 'Marhum Nabi Allah'. Setelah istiadat permakaman disempurnakan, Raja Bendahara Raja Ismail telah dilantik oleh orang besar-besar Perak menjadi Sultan Perak yang ke-25 dengan gelaran Paduka Seri Sultan Ismail Mu'abidin Riayat Shah. Tengku Menteri Ngah Ibrahim juga bersetuju dengan pelantikan Raja Bendahara Raja Ismail menjadi penggati Almarhum Sultan Ali Al-Mukammal Inayat Shah.
DYMM Paduka Seri Sultan Perak dan DYMM Raja Permaisuri Perak kemudiannya menziarahi makam Paduka Seri Sultan Yusuf Sharifuddin Muzaffar Shah (Marhum Gharirullah) Sultan Perak Ke-27 yang memerintah pada tahun 1886 hingga 1887 dan menjadi Pemangku Sultan selama 9 tahun bermula 1877 hingga 1886. Almarhum ditabalkan pada 07 Oktober 1886 dan sempat menjadi Sultan Perak selama 10 bulan sahaja apabila baginda mangkat pada 1887. Almarhum pada mulanya dimakamkan di Sayong Tebing tetapi kemudiannya dialihkan ke kawasan Masjid Sayong Tengah.
Pada sebelah petangnya pula DYMM Paduka Seri Sultan Perak dan DYMM Raja Permaisuri Perak menziarahi makam-makam di Makam Diraja Al-Ghufran, Bukit Chandan seperti berikut :-
- Paduka Seri Sultan Abdullah Muhammad Shah II (Marhum Habibullah) Sultan Perak Ke-26 yang memerintah pada 1874-1877.
- Paduka Seri Sultan Idris Murshidul 'Adzam Shah I (Marhum Rahmatullah) Sultan Perak Ke-28 yang memerintah pada 1887-1916.
- Paduka Seri Sultan Abdul Jalil Karamatullah Shah (Marhum Radziallah) Sultan Perak Ke-29 yang memerintah pada 1916-1918.
- Paduka Seri Sultan Iskandar Shah (Marhum Kadasallah) Sultan Perak Ke-30 yang memerintah pada 1918-1938.
- Paduka Seri Sultan Abdul Aziz Almustasim Billah Shah (Marhum Ni'matullah) Sultan Perak Ke-31 yang memerintah pada 1938-1948.
- Paduka Seri Sultan Yussuff Izzuddin Shah (Marhum Ghafarullah) Sultan Perak Ke-32 yang memerintah pada 1948-1963.
- Paduka Seri Sultan Idris Iskandar Al-Mutawakkil-Allallahi Shah II (Marhum Affifullah) Sultan Perak Ke-33 yang memerintah pada 1963-1984.
- Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Sultan Perak Ke-34 yang memerintah pada 1984-2014.
Portal Sumber : Jabatan Penerangan Malaysia/Fairul/ Portal Raja Kita-Perak / Bernama /Utusan Online/ Putera Kola
http://tengkusyah.blogspot.com/2015/05/tuanku-nazrin-dan-tuanku-zara_25.html