"Education aims at independence of judgement. Propaganda offers ready-made opinion for the unthinking herd."
Assalamu'alaikum wbt dan salam sejahtera. Selamat membaca.
~ MOHAB (1 September 2014 - 17.07.2014 - 19 Ramadhan 1435)

Selasa, Februari 19, 2013

Asal Usul Syirik dan Penyembahan Berhala Di Mekah

Mekah pada asalnya adalah lembah kering kontang. Dengan perintah Allah s.w.t Nabi Ibrahim a.s meninggalkan Siti Hajar dan Ismail anaknya disitu.

Semasa Ibrahim hendak meninggalkan mereka, Siti Hajar mengekori Ibrahim dari belakang sambil bertanya mengapa dia ditinggalkan di situ. Namun Ibrahim tidak mengendahkannya sehingga akhirnya Hajar bertanya, "Adakah ini perintah Allah?" "Benar," jawab Ibrahim.

Hajar berkata dengan penuh yakin, "Kalau begitu, pasti Tuhan tidak mensia-siakan kita. Sekiranya ini adalah perintah Tuhan, pasti ada pembelaan daripada Tuhan Yang Maha Baik itu."

Ismail mula menangis, susu Hajar mula kering. Maka bemulalah kisah bukit Safa dan Marwah sehinggalah pada saat Hajar merintih berharap penuh bulat hatinya bergantungnya pada Tuhan. Maka diperintah turunlah Jibril menyingkap tabir telaga Zam Zam. Melalui hentakan kaki Ismail memancar keluar air lah air Zam Zam yang masih mengeluarkan airnya sehingga kini.

(Menurut ahli-ahli sejarah, peristiwa ini berlaku selepas empangan besar di Yaman, yang bernama Sadd Maarib, pecah. Empangan Maarib adalah empangan yang besar menjadi sumber air dan sumber kehidupan Yaman pada ketika itu. Empangan yang dibina oleh kaum Saba yang pandai bina ini pecah oleh kerana mereka ingkar pada perintah Tuhan.)

Maka akibat terbit air, burung-burung mula menunjukkan isyarat dari atas kawasan Mekah yang difahami oleh suku Jurhum. Mereka menuju kesitu kerana ingin menyiasat ada betulkah sumber air.

Benar, mereka sampai disana dengan melihat seorang wanita dan seorang anak kecil. Mereka tidak merampas, malah meminta izin daripada Hajar untuk berkongsi air malah rela membayar sewa telaga air itu kepada Hajar apabila diminta.

Ismail yang berganti korban kibas mula dewasa. Dan Ibrahim diperintahkan membina Kaabah bersama-sama Ismail diatas runtuhan Kaabah dizaman Adam yang telah terkambus.

Maka setelah selesai dibina Kaabah diperintahkan Ibrahim menyeru sekelian manusia. Maka kata Ibrahim "Wahai Tuhan! Bagaimana suara aku boleh sampai ke pendengaran manusia?"

Tetapi Tuhan menegaskan, tugas Ibrahim hanyalah membuat seruan. DIAlah yang menyampaikan kepada manusia.


Maka berdirilah Ibrahim dibukit Arafah, lalu diseru manusia seluruh dunia supaya datang menziarahi Kaabah. Suaranya didengari oleh seluruh pelusuk dunia dan Tuhan menjatuhkah dalam hati mereka rasa cinta kepada Kaabah.

Maka apabila sampai seru itu-bermulalah ibadah haji. Dengan itu orang ramai datang melakukan ibadah haji ke Kaabah dengan menyahut seruan dan panggilan itu.

Sejak daripada itu seluruh bangsa Arab menganut agama Ibrahim iaitu agama yang Hanif menyembah hanya Tuhan yang Sa.

Dan tidak ada yang lebih baik agamanya daripada orang yang menyerah dirinya kepada Allah (dengan ikhlas), sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, dan ia pula mengikut agama Nabi Ibrahim yang lurus (yang tetap atas dasar tauhid); dan (kerana itulah) Allah menjadikan Nabi Ibrahim kesayanganNya. (An Nisaa 4:125)

(Maka benarlah kata Almarhum guruku sepintas lalu yang sentiasa terngiang "haji itu adalah di Arafah, Muhammad berkumpul bersama para sahabatnya di Arafah.")

Bagaimana Sikap Syirik Masuk Ke Semenanjung Arab?
Selepas itu datang seorang lelaki Arab daripada suku Khuzaah yang bernama Amru bin Lu'ayy.

Menyerang suku Jurhum dan menghalau mereka keluar dari Mekah. Dialah yang mula-mula sekali memperkenalkan sembahan berhala kepada suku kaumnya dan mula tersebarnya ajaran itu keseluruh suku-suku Arab yang lain.

Amru bin Lu'ayy adalah seorang hartawan dan dermawan. Dialah yang menyediakan keperluan orang ramai yang datang mengerjakan haji di Mekah setelah dihalau keluar suku Jurhum.

Antara berhala yang diperkenalkan adalah berhala Isaf dan Nailah. Asalnya pemuda dan pemudi dari Yaman yang berbuat zina di tepi Kaabah. Sebagai balasan Tuhan menukarkan mereka menjadi batu. Batu Isaf diletak di Safa dan Batu Nailah di Marwah sebagai pengajaran kepada orang ramai.

Amru bin Lu'ayy memindahkan batu itu ke Kaabah dan menjadikannya berhala yang perlu di sembah. Orang yang tidak tahu asal-usul batu itu percaya kepada Amru bin Lu'ayy dan menjadikan ia sebagai sembahan mereka. Begitulah asal-usul sembahan berhala yang semakin mendapat tempat di Semenanjung Arab.

A117
Apa yang mereka sembah yang lain dari Allah itu, hanyalah berhala-berhala (makhluk-makhluk yang lemah), dan mereka (dengan demikian) tidak menyembah melainkan Syaitan yang derhaka; (An Nisaa 4:119)

Yang dilaknat oleh Allah, dan yang telah mengatakan: "Demi sesungguhnya, aku akan mengambil dari kalangan hamba-hambamu, bahagian yang tertentu (untuk menjadi pengikutku); (An Nisaa 4:120)

Maka oleh sebab itu, Allah itu asalnya merujuk kepada Tuhan yang Sa didalam agama Ibrahim, ditukar kepada Allah sebagai sebutan Tuhan yang merujuk kepada berhala oleh orang yang terkemudian lagi syirik.

Kalimah Allah suci yang merujuk penuh kepada sebenar-benar Tuhan yang bersifat ketuhanan tetapi telah dirosakkan oleh Amru bin Lu'ayy dan kabilahnya yang menyeleweng daripada landasan Tauhid.

Walaupun bani Jurhum dan Keturunan Ismail tewas dan dihalau keluar dari Mekah tetapi masih ada lagi yang tinggal disana. Tidak punya kuasa.

Sehinggalah pada zaman Keturunan Ismail yang bernama Qusai bin Qilab yang diberi kekuatan dan kekayaan kepadanya. Qusai berjaya menguasai Mekah dan mengembalikan Mekah dan telaga Zam Zam kepada Keturunan Ismail.

Qusai bin Qilab adalah daripada zuriat Ismail yang bernama Fihr. Dan Fihr inilah yang digelar Quraisy. Darinya lahirnya Syaibah yang juga dikenali sebagai Abdul Mutallib.

Abdul Mutallib bangsawan Quraisy bani Hashim inilah orang yang telah diberikan mimpi dan petunjuk oleh Allah taala untuk menemukan semula punca telaga Zam Zam yang hilang semenjak si Amru bin Lu'ayy dan suku Khuzaah membawa masuk agama syirik ke Mekah. Maka itu isyaratnya.

Maka datanglah petunjuk "diantara perut dan darah, disisi patukan gagak hitam yang ada bulu putih, dirumah kampung semut."  Ia tidak akan kering selama-lamanya dan tidak akan berkurang.

Dan seterusnya darinya lahirlah Abdullah anak bongsu kesayangan Abdul Mutallib yang diganti korbannya dengan 100 ekor unta kerana bernazar dan kemudian lahirlah junjungan besar nabi kita Nabi Muhammad s.a.w yang amat-amat kita rindui itu, lalu membersihkan terus Mekah daripada amalan syirik kaumnya.

Muhammad ada menyebut "aku ini anak kepada dua orang yang hendak disembelih."

Oleh itu telah terbuktilah Mekah itu asalnya kering-kontang dibuka oleh Nabi Ibrahim bersama isterinya Hajar dan anaknya Ismail. Tiada langsung amalan penyembahan berhala disitu - jahiliah itu datangnya kemudian.

Maka tersebarlah seruan Tauhid keseluruh dunia dari Mekah dizaman Ibrahim dengan kebesaran Allah taala jadi tunduklah hati sekalian manusia seluruh dunia yang mendengarnya. 

Lalu datanglah mereka berbondong-bondong ke Mekah bagi menunaikan haji menyembah Allah yang Sa.

Begitulah asalnya Mekah menjadi nadi dan punca tersebarnya agama Tauhid ke seluruh pelusuk Alam dan dilayan pula segala kebajikan mereka oleh Keturunan Ismail, pintu bertiang Jurhum pemilik telaga Zam Zam.

"...pasti ada pembelaan daripada Tuhan Yang Maha Baik itu."

sumber.

Wassalam.

kerana rinduku yang tidak tertahan.
The Malay Press.







0 comments:

Catat Ulasan

Assalamu'alaikum wbt dan salam sejahtera. Selamat membaca.

 

Copyright © T H E . M A L A Y . P R E S S Design by Free CSS Templates | Blogger Theme by BTDesigner | Powered by Blogger